MADRID – Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) melaporkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa turun sebanyak 72 peratus dalam sepuluh bulan pertama tahun 2020 kerana wabak koronavirus.
Menurut UNWTO, sekatan perjalanan, keyakinan pengguna yang rendah dan pertarungan global untuk membendung penyebaran Covid-19 bermaksud tahun 2020 merupakan tahun terburuk yang dicatatkan bagi jumlah pelancong antarabangsa.
Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini menyaksikan destinasi global menerima 900 juta pelancong antarabangsa.
Ini menunjukkan kerugian sebanyak AS$935 bilion dolar untuk sektor ini – 10 kali lebih banyak daripada krisis ekonomi 2009.
Setiausaha Jeneral UNWTO, Zurab Pololikashvili berkata, walaupun berita mengenai vaksin telah meningkatkan keyakinan pelancong, tetapi sektor ini memerlukan tempoh jangka panjang untuk dipulihkan.
“Kita mesti melipatgandakan usaha untuk membuka sempadan dengan selamat sambil menyokong pekerjaan dan perniagaan pelancongan,” kata Pololikashvili.
UNWTO meramalkan pada akhir tahun ini, jumlah pelancong dunia akan menurun ke tahap sekitar 30 tahun yang lalu, yang mengakibatkan kerugian sekitar AS$1.1 trilion.
“Pendekatan koordinasi untuk meringan dan menghapuskan sekatan perjalanan sangat penting, asalkan selamat untuk melakukannya,” kata Pololikashvili, sambil menjelaskan pentingnya memiliki peraturan yang jelas dan konsisten di seluruh negara.
Agensi PBB itu turut menjangkakan sektor pelancongan akan mulai pulih pada separuh kedua tahun 2021, tetapi memerlukan masa antara dua setengah hingga empat tahun untuk kembali ke tahap tahun 2019. – MalaysiaGazette