NEW yORK – Arus kuat telah menghanyutkan bongkah ais yang besar di Lautan Atlantik menyebabkan laluannya bertukar arah dan kehilangan besar jisimnya yang mana kini ia menuju ke arah Pulau Georgia Selatan, kata seorang saintis yang menjejaki laluannya.
Ketika bongkah ais itu, dikenali A68a, menghampiri pinggir selatan pulau yang terletak di selatan Lautan Atlantik itu pada minggu ini berikutan arus yang kuat menyebabkan ia berpusing 180 darjah, menurut pengkaji laut, Geraint Tarling yang berkhidmat dengan British Antarctic Survey.
“Anda boleh bayangkan bongkah ais yang berpusing (180 darjah) kerana arus yang sangat kuat,” kata Tarling.
Ia berlaku apabila penjuru bongkah ais itu berpusing pada kadar yang perlahan dan menyebabkan sebuah bongkah besar pecah. Bongkah ais yang baharu itu dinamakan A68d.
Para saintis telah melakukan pemantauan sejak beberapa minggu lalu yang mana kali terakhir bongkah ais itu diukur ia berukuran 4,200 kilometer persegi.
Para penyelidik khuatir ketika bongkah ais itu menghampiri pulau yang kaya dengan hidupan liar, ia mungkin menghakis dasar laut dan mengganggu ekosistem di bawah air.
Mereka juga bimbang bongkah ais itu mungkin menghalang penguin daripada mencari makanan.
Semalam, bongkah ais A68a berada kira-kira 50 kilometer dari pantai barat pulau itu.
Bagaimanapun ia kelihatan menghala ke arah tenggara yang mana terdapat arus yang boleh memusingkannya kembali ke arah timur pulau itu.
Ini bermakna, bongka ais itu masih boleh menyebabkan bencana alam sekitar untuk hidupan liar tempatan di sepanjang pantai timur bukannya barat daya pulau itu.
Bongkah ais baru yang lebih kecil, A68d, jaraknya dengan bongkah ais asal semakin jauh.
Para saintis tidak tahu sama ada ia akan mengikuti laluan yang sama. Saiz bongkah ais A68d tidak diketahui.
Para saintis menjangka beberapa bongkah ais akan pecah daripada A68a apabila ia menghampiri pulau itu.
Bongka ais A68a pecah daripada semenanjung Antartik pada 2017. – MalaysiaGazette