Peladang, Kosaini Jakiman, 50, melakukan kerja-kerja semburan racun pada Majlis Pelancaran Agihan Benih Padi Sah di Kampung Gemilang, Tanjong Karang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 DISEMBER 2020.

TANJONG KARANG – Sebanyak 10 syarikat berlesen telah dikenalpasti untuk membekalkan benih padi sah kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) program Insentif Benih Padi Sah (IBPS).

Menurut Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Dr Anis Mahmud, kesemua syarikat terbabit berupaya membekalkan sehingga 36,000 metrik tan benih padi sah.

“Benih padi sah ini akan dibekalkan kepada kira-kira 320,000 petani di seluruh Semenanjung bermula musim penanaman awal padi tahun depan.

“NAFAS sedia menjadi pemborong tunggal bagi membekalkan benih padi sah kepada pesawah pada harga maksimum RM35 setiap 20 kilogram (kg).

“Kami akan melantik ejen yang sah agar benih padi sah ini sampai kepada pesawah,” katanya kepada pemberita selepas Program Pengagihan Padi Sah di Pusat Belian Padi Sawah Sempadan, di sini, hari ini.

Hadir sama merasmikan program itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Rabu lalu, Kiandee di Dewan Negara berkata, penambahbaikan program IBPS bertujuan untuk menjamin mutu perkhidmatan selain memberikan hak kepada pesawah untuk memilih jenis benih padi yang terbaik untuk ditanam di sawah mereka.

Selain itu, pengenalan harga siling itu bertujuan membantu pesawah mengurangkan kos padi serta menggalakkan pengunaan benih padi sah yang berkualiti, bermutu tinggi, rintang penyakit serta mengurangkan risiko padi angin.

“Harga maksimum RM35 setiap 20 kilogram ini satu penjimatan yang sangat banyak kerana sebelum ini pesawah ada yang membeli benih padi sehingga RM60 setiap 20 kilogram,” katanya lagi. – MalaysiaGazette