Sungai Golok

PASIR MAS – Sebanyak 12 daripada 17 pos kawalan milik Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertempat di pinggir Sungai Golok akan dinaik taraf bagi menggelak pos terbabit terjejas akibat bencana banjir.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ramlan Harun berkata, hasil lawatan yang dilakukan hari ini mendapati hampir keseluruhan pos kawalan yang terletak di sepanjang 41 kilometer dari Tumpat ke Pasir Mas sentiasa terdedah kepada ancaman banjir.

Beliau berkata, setiap pos kawalan akan diganti dengan yang baharu serta ditempatkan di kawasan lebih tinggi supaya tidak dinaiki air dan perkara itu dalam perancangan.

“Prosesnya akan dilakukan secepat mungkin. Begitu juga dengan kediaman anggota di sempadan yang kini semakin uzur dan perlu diganti baharu.

“Semua ini dilakukan untuk memberi keselesaan kepada anggota di sempadan agar mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Op Benteng di Pos Pak Teh Kana dan Komtak Jeram Perdah di sini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim; Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Muhammad Piah; Timbalan Komander Briged Tenggara, ACP Sanudin Md Isa dan Pegawai Pemerintah PGA7, Superintenden Azhari Nusi.

Sebelum ini, tiga pos kawalan PGA iaitu Pos Ibrahim Pencen dan Pos Pak Teh Kana di Rantau Panjang serta Pos Salleh di Jeram Perdah ditutup sementara selepas dinaiki air melebihi paras dua meter setelah hujan berterusan melanda negeri itu sejak Rabu lepas.

Ramlan juga berkata, lawatan kali ini adalah bagi melihat sendiri penambahbaikan yang perlu dilakukan di pos kawalan terbabit dan kelengkapan komunikasi di KTJ Op Benteng di sini.

“Kita mahu supaya tahap kesiapsiagaan petugas-petugas sempadan yang juga barisan hadapan dapat memastikan sempadan negara tidak dibolosi oleh penjenayah walaupun dalam situasi wabak COVID-19 dan bencana banjir,” katanya.

Difahamkan, dua kereta perisai jenis Commando V150 dan Sankey kini turut ditempatkan di Komtak Jeram Perdah bagi memastikan tugasan dapat dijalankan dengan lebih berkesan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast