Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lapan kluster baharu yang mana lima daripadanya dilaporkan di Lembah Klang.

Tiga kluster itu dikesan di Kuala Lumpur dan dua di Selangor manakala tiga lagi masing-masing satu di Johor, Sabah dan Perak.

Selain itu, tiga kluster ditamatkan pada hari ini iaitu Kluster iaitu Kluster Summer, Kluster Kota Kecil, dan Kluster Tenaga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu ialah Kluster Pasar Baru, Kluster Bukit Naga, Kluster Tapak Bina Residen, Kluster Tapak Bina Kasih, Kluster Tapak Bina Sinar View, Kluster Paginatan, Kluster Tampoi Jaya dan Kluster Rapat.

Katanya, kluster Pasar Baru dikesan di daerah Klang dan Kuala Langat di Selangor yang mana kes indeks bagi kluster berkenaan iaitu kes ke-85580 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Disember lalu melalui saringan individu bergejala dan sehingga kini seramai 2,001 individu telah disaring untuk kluster ini dan 309 kes daripadanya positif.

“Kluster kedua Bukit Naga juga dikesan di Selangor iaitu di daerah Klang dan kes-kes berkenaan disahkan positif bermula 13 Disember lalu melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan manakala seramai 190 individu telah disaring untuk kluster ini dan 58 kes daripadanya positif.

“Kluster ketiga Tapak Bina Residen dikesan di Lembah Pantai yang mana kes-kes kluster ini positif Covid-19 bermula pada 22 Disember 2020 melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan manakala setakat ini sejumlah 640 individu telah disaring, yang mana 294 kes adalah positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, kluster keempat iaitu Tapak Bina Kasih juga dikesan di Kuala Lumpur iaitu daerah Kepong yang mana kes positif dikesan bermula hari ini melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan dan setakat ini sejumlah 392 individu telah disaring dan 43 kes daripadanya positif Covid-19.

Tambah beliau, kluster kelima adalah Tapak Bina Sinar View juga dikesan di daerah Kepong yang mana kes positif dikesan bermula pada 22 Disember lalumelalui saringan bersasar di tempat kerja.

Menurut beliau, sehingga hari ini seramai 510 individu telah disaring yang mana 32 kes daripadanya telah dikesan positif Covid-19.

Dr. Noor Hisham turut memaklumkan bahawa kluster keenam Paginatan dikesan di daerah Ranau, Papar, dan Kota Belud di Sabah yang mana kes pertama iaitu kes ke-85057 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Disember lalu melalui saringan individu bergejala.

Jelas beliau, sehingga kini seramai 232 individu telah disaring manakala 47 kes daripadanya telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

“Kluster ketujuh iaitu Tampoi Jaya melibatkan daerah Johor Bahru iaitu kes indeks bagi kluster berkenaan iaitu kes ke-88947 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 17 Disember lalu melalui saringan individu bergejala.

“Setakat ini, sejumlah 231 individu telah dilibatkan dalam ujian saringan dan 32 kes dripadanya telah dikesan positif Covid-19,” ujarnya.

Dr Noor Hisham berkata, kluster kelapan Kluster Rapat telah dikesan di tempat kerja melibatkan daerah Kinta dan Perak Tengah di Perak.

Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-87874 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 16 Disember lalu melalui saringan individu bergejala dan sehingga hari ini sejumlah 146 individu telah disaring tetapi tujuh daripadanya disahkan positif, ujar beliau.

Beliau menjelaskan, setakat hari ini terdapat sebanyak 459 kluster telah dilaporkan termasuk lapan kluster baharu pada hari ini manakala jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 253 kluster termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Summer, Kluster Kota Kecil, dan Kluster Tenaga.

“Ia menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 206 kluster dan daripada angka itu, sebanyak 52 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Tiga kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi iaitu Kluster Tapak Bina Residen (294 kes), Kluster Pasar Baru (270 kes), dan Kluster Seruling (221 kes),” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast