SEBAHAGIAN daripada graduan dari 165 buah negara kegembiraan pada Majlis Konvokesyen Universiti Limkokwing yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada tahun lalu.

MALAYSIA hari ini masih ketandusan melahirkan pemimpin-pemimpin muda baharu yang menyerlah ekoran kurangnya pendedahan dalam merealisasi jiwa mereka dan dilihat tidak matang dalam membawa perubahan untuk pembangunan negara kerana dibayangi pemimpin lama.

Pemimpin muda perlu menempa nama dalam arena dunia politik namun perlu diseimbangi dengan jaringan kerjasama dengan pemimpin lama atau veteran.

Bakat pemimpin muda perlu diiktiraf bukan sahaja sebagai pemimpin pada masa hadapan tetapi juga pemimpin hari ini melalui keterbukaan mereka dalam menyertai mana-mana parti.

Pemimpin muda ini perlu diketengahkan dan diberi peluang untuk terus menempa nama dan berjaya untuk mara ke hadapan bagi menggembleng tenaga rakyat Malaysia yang berbilang bangsa serta agama.

Untuk menempa nama dalam arena politik negara, pemimpin-pemimpin muda ini perlu menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin lama dan seiring bekerjasama dalam mencapai satu matlamat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik.

Ramai pemimpin muda yang aktf dan hebat dalam berpidato, berkarisma tinggi, namun pemimpin muda ini tidak diketengahkan dan masih dibayangi pemimpin lama.

Saya melihat pada situasi hari ini banyak parti-parti di negara ini tidak berani mempertaruhkan pemimpin muda mereka dalam parti atas faktor kuasa dan kelangsungan politik.

Pemimpin lama harus berlapang dada dan terbuka untuk membuka peluang kepada pemimpin-pemimpin muda untuk diberi tanggungjawab dan amanah dalam memegang jawatan baik dalam parti mahupun pertubuhan bukan kerajaan atau belia.

Dalam era kepimpinan negara hari ini, sudah tiba masanya Malaysia memerlukan pemimpin baharu dan segar.

Pemimpin muda yang mempunyai visi dan aspirasi untuk membangunkan negara dan membela nasib rakyat secara keseluruhannya. Pemimpin lama bimbinglah mereka.

Kita tidak mahu Malaysia dikatakan kekurangan orang-orang yang hebat untuk diketengahkan. Malaysia tidak ada pemuda atau wanita yang berwawasan untuk diletakkan sebagai pemimpin masa depan.

Untuk memenangi hati rakyat, semua golongan masyarakat perlu diambil berat oleh pimpinan. Pemimpin lama jangan ketepikan pemimpin muda. Jangan menolak idea-idea perubahan pemimpin muda.

Jangan takut untuk memberikan peluang kepada pemimpin muda. Jangan takut jawatan dalam parti atau pertubuhan diganggu gugat oleh pemimpin muda ini.

Pemimpin lama perlu menggilap bakat-bakat pemimpin muda ini dengan memberi tunjuk ajar kepada mereka bagaimana untuk menjadi pemimpin yang berjiwa rakyat.

Berikan tunjuk ajar bagaimana hendak merangka program-program yang bermanfaat dengan niat membimbing pemimpin muda dan bukan satu medan untuk mempergunakan mereka tetapi untuk member pendedahan awal mengenai kepimpinan.

Pemimpin muda harus tahu bagaimana nak memimpin sejak daripada muda lagi. Barulah mereka boleh membentuk generasi muda yang matang dan berpengalaman. Jangan pula apabila menyertai parti politik atau pertubuhan belia, tetapi tidak ada panduan daripada pemimpin-pemimpin lama.

Pemimpin lama perlu lebih terbuka dalam melahirkan pemimpin-pemimpin muda yang mampu menerajui kepimpinan dan diangkat sebagai calon pemim[pin tidak kira di peringkat kampung, cawangan, bahagian, daerah, negeri atau pun negaraa.

Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing