Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang kenyataan yang tidak berasas serta tidak benar mengenai vaksin Covid-19 yang diperolehi negara yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya telah merujuk hantaran-hantaran yang dibuat oleh beberapa pemilik akaun di laman media sosial Facebook yang telah membuat tuduhan tidak benar kepada kerajaan tentang pembekalan vaksin Covid-19.

“Menerusi hantaran tersebut, pemilik akaun berkenaan telah membuat tuduhan bahawa kerajaan telah membayar RM3 bilion untuk pembelian 10 juta dos vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairy, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM3 bilion bagi tujuan perolehan vaksin Covid-19 dan peruntukan itu adalah bagi perolehan vaksin berjumlah sehingga 70 peratus populasi negara atau 22.4 juta orang.

“Untuk rekod, perkara ini juga telah dijawab dan dijelaskan oleh YB Menteri MOSTI sebanyak beberapa kali ketika persidangan Dewan Rakyat yang lalu,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Khairy memberitahu, kerajaan baharu sahaja menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal, Astra Zeneca, bagi perolehan sebanyak 6.4 juta dos atau tambahan sebanyak 10 peratus lagi.

Tambah beliau, ini bermakna jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus yang telahpun diperolehi menerusi perjanjian bersama fasiliti COVAX, syarikat Pfizer dan syarikat AstraZeneca.

Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi
negara atau 26.5 juta, ujarnya.

Katanya, melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai buat masa ini, kerajaan akan membelanjakan sejumlah AS$504.4 juta (RM2.05 bilion).

Jelasnya, jumlah 80 peratus itu adalah melebihi sasaran awal iaitu
untuk memberikan vaksin kepada 70 peratus rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, katanya, MOSTI meminta agar orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuat dan menyebarkan maklumat tidak sahih dan palsu tanpa merujuk kepada kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan
oleh Kerajaan. – MalaysiaGazette