Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Negeri Selangor terus mencatat kes positif baharu Covid-19 harian tertinggi selama lapan hari berturut-turut dengan perangkaan terbaru sebanyak 535 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 363 adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 di lapangan.

“Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 226 kes dan Sabah sebanyak 189 kes. Sebanyak 193 kes yang dilaporkan berkaitan kluster di lokap, penjara dan depot  tahanan imigresen.

“Ini membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (123 kes), Kluster Tembok Gajah (56 kes), Kluster Kolam Air (8 kes), Kluster Tembok (5 kes) dan Kluster Hala Mutiara (1 kes),” katanya pada sidang media di Kementerianm Kesihatan hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham juga mendedahkan sebanyak lima kluster baru dikenalpasti hari ini membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah, Kedah dan Perak.

Tambah beliau, kluster itu ialah Kluster Tapak Bina Jalan Panah melibatkan daerah Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan.

Kes-kes telah dilaporkan bermula 7 Disember lepas melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan. 21 daripada 1,000 yang telah disaring dikesan positif, ujarnya.

Menurut Dr Noor Hisham, Kluster Menara Wang pula melibatkan Lembah Pantai, Cheras, Titiwangsa, daerah Petaling, Klang, Sepang dan Hulu Langat di Selangor, daerah Maran serta Kuantan di Pahang yang mana 23 dikesan positif daripada 293 individu disaring.

“Bagi Kluster Saga Tengah pula melibatkan daerah Tenom dan Keningau Sabah, 16 positif dari 298 di saring.

“Kluster Hala Mutiara melibatkan daerah Kinta di Perak, sehingga 23 Disember, 51 individu telah jalani saringan dengan tujuh daripadanya positif,” katanya.

Tambah beliau, Kluster Kolam Air di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, sejumlah 84 individu telah disaring dengan 14 daripadanya positif. – MalaysiaGazette