KUALA LUMPUR – Perubahan tahunan Indeks Pelopor (IP) meningkat pada Oktober 2020, mencatatkan pertumbuhan 6.3 peratus untuk mencapai 108.7 mata daripada 102.3 mata pada Oktober 2019.
Momentum ini didorong terutamanya oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia dengan Indeks Penjagaan Kesihatan sebagai pemacu kepada pertumbuhan.
Meskipun tahun ke tahun IP meningkat, secara bulanan IP menurun sebanyak 0.7 peratus.
Antara komponen utama yang mempengaruhi penurunan tersebut adalah Bilangan Syarikat Baru Didaftar (-0.8%) dan Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (-0.4%).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun IP perlahan pada bulan rujukan, kadar pertumbuhan IP terlicin konsisten di atas trend.
Ini menjangkakan bahawa ekonomi Malaysia terus berada di landasan pemulihan pada bulan-bulan terawal tahun 2021.
Tambahan pula, harapan vaksin Covid-19 telah melonjakkan sentimen optimis di peringkat global dan mencetuskan kesan yang lebih baik kepada prospek ekonomi.
Beliau menyatakan Indeks Serentak (IS) menurun sebanyak 1.1 peratus bulan ke bulan untuk mencapai 112.0 mata pada bulan rujukan berbanding 113.3 mata pada September 2020.
Empat daripada enam komponen telah memperlahankan prestasi IS terutamanya Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (-0.6%).
Antara kumpulan yang menyebabkan penurunan tersebut adalah Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Lain (-8.4%), Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Bahan Api Kenderaan (-8.3%) dan Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Kesenian & Rekreasi (-4.8%).
Begitu juga, prestasi IS yang menggambarkan aktiviti ekonomi semasa menurun kepada negatif 2.4 peratus pada Oktober 2020 daripada 114.8 mata pada tahun sebelumnya.
Kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 13 Oktober 2020 untuk mengatasi penyebaran Covid-19 ditunjukkan melalui prestasi ekonomi semasa.
Menurut beliau, had bilangan pekerja menjejaskan keupayaan operasi dan output walaupun aktiviti ekonomi dan perniagaan dibenarkan untuk diteruskan. – MalaysiaGazette