Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu terus memastikan perlindungan kesihatan rakyat selain pemulihan ekonomi berterusan pada tahun depan.

Ini kerana situasi luar jangka telah mengekang aktiviti ekonomi global secara keseluruhan dengan ekonomi dunia mengalami penguncupan yang ketara dan Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka turut terjejas.

Berdasarkan laporan ekonomi Asian Development Bank (ADB) yang dikeluarkan pada Disember 2020, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun ini diunjur merosot 6.0 peratus dan kembali pulih kepada 7.0 peratus pada
2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Malaysia terus mencatat pemulihan ekonomi meskipun berdepan cabaran semasa kesan penularan Covid-19.

Menurutnya, bilangan tenaga buruh telah meningkat sebanyak 24.7 ribu orang kepada 15.96 juta orang pada bulan Oktober 2020 berbanding bulan sebelumnya.

Bilangan penduduk bekerja mencatatkan trend menaik bagi tempoh lima bulan berturut-turut dengan pertumbuhan marginal 0.1 peratus bulan ke bulan merekodkan 15.21 juta orang.

Namun demikian, kadar pengangguran pada Oktober 2020 adalah 4.7 peratus, meningkat 0.1 mata peratus berbanding September 2020 selepas mencatatkan trend penurunan selama empat bulan berturut-turut sejak Jun 2020, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau selanjutnya menjelaskan, eksport barangan Malaysia pada Oktober 2020 meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun kepada RM91.1 bilion iaitu nilai eksport bulanan kedua tertinggi yang dicatatkan pada tahun 2020.

Pertumbuhan positif tersebut disokong oleh peningkatan eksport sarung tangan getah, minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit serta produk elektrik dan elektronik.

“Sektor pembuatan terus menjadi pendorong ekonomi dengan pertumbuhan positif 2.4 peratus yang disumbangkan oleh kedua-dua industri berorientasikan domestik dan eksport.

“Industri berorientasikan domestik terutamanya disokong oleh Pemprosesan makanan, kenderaan bermotor dan peralatan pengangkutan dan logam asas.

Sementara itu, katanya, industri berorientasikan eksport didominasi oleh peningkatan ketara dalam produk getah,k omponen dan papan elektronik, peralatan komunikasi dan elektronik pengguna serta lomputer dan kelengkapan peranti.

Menurut Ketua Perangkawan itu lagi, ekonomi Malaysia pulih secara beransur-ansur berikutan situasi pandemik yang masih terkawal dengan peraturan SOP yang ketat oleh kerajaan.

“Dasar dan inisiatif kerajaan telah menyokong kestabilan pasaran buruh dan telah mendorong pemulihan secara beransur-ansur.

“Walaupun begitu, usaha yang strategik turut digalakkan untuk mempromosikan keusahawanan sebagai peluang menjana
pendapatan, melahirkan pencipta pekerjaan berbanding pencari pekerjaan terutamanya dalam kalangan belia,” ujarnya.

Pada masa yang sama, untuk meningkatkan kebolehpasaran, belia perlu sentiasa bersedia untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan mereka kekal fleksibel dan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan pasaran buruh.

“Sejak PKPB dilonggarkan secara berfasa dan diganti dengan PKPP, kerajaan baru-baru ini telah membenarkan perjalanan merentas daerah dan negeri.

“Ini merupakan petunjuk positif kepada peningkatan aktiviti pelancongan domestik. Tambahan pula, tempoh akhir tahun kebiasaannya akan dipenuhi dengan aktiviti pelancongan apabila orang ramai memanfaatkan cuti panjang bersempena perayaan Krismas, Tahun Baru dan cuti sekolah yang secara langsung akan menyumbang kepada pertumbuhan ketara industri berasaskan pelancongan di seluruh negara,” katanya.

Menariknya, pandemik Covid-19 juga telah memberi impak positif kepada perniagaan.

Penjarakan fizikal menyebabkan perniagaan beralih kepada penyelesaian digital bagi menjamin kelangsungan perniagaan iaitu media sosial.

Ini dapat dilihat melalui peningkatan pembelian dalam talian yang secara langsung melonjakkan hasil dalam perkhidmatan pos dan penghantaran.

Sementara itu, perniagaan dalam talian telah menyumbang kepada penggunaan telekomunikasi yang lebih tinggi di mana peniaga secara aktif menggunakan platform digital untuk meneruskan perniagaan.

Mengambil kira sekatan pergerakan dan garis panduan penjarakan sosial, perkembangan platform dalam talian yang menawarkan perkhidmatan pembayaran, penghantaran makanan dan pendidikan dalam talian bukan sekadar menyediakan
barangan dan perkhidmatan asas kepada masyarakat umum malah memenuhi keperluan syarikat yang ingin menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan yang pesat.

Usahawan yang terlibat dalam sektor informal seperti menjual makanan, pakaian dan barangan kraftangan telah memanfaatkan platform ini secara kreatif melalui media sosial yang menyumbang kepada pertumbuhan ketara aktiviti ini.

Melalui pengumuman belanjawan baru-baru ini, kerajaan telah memperuntukkan bantuan kepada usahawan informal.

Bagaimanapun, pendekatan yang lebih proaktif perlu dilaksanakan untuk kelangsungan hidup golongan itu.

Beliau merumuskan ekonomi Malaysia dijangka terus berada di landasan pemulihan pada bulan-bulan terawal tahun 2021 seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pelopor (IP) Oktober 2020.

Adalah penting bagi kegiatan ekonomi untuk terus menyediakan pekerjaan untuk rakyat, dan selanjutnya mencari penyelesaian yang tepat dan pendekatan bersasar bagi membendung Covid-19 tanpa menjejaskan pemain industri yang menjadi tulang belakang ekonomi.

Ketika kita menuju penghujung tahun 2020, berita tentang pelancaran vaksin Covid-19 mencetuskan kegembiraan di seluruh dunia termasuk di Malaysia yang dijangka akan diterima seawal Februari 2021.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast