Seorang ibu bersama anaknya melihat hiasan dekorasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Hari Natal di pusat membeli-belah sekitar Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Rakyat diingatkan supaya mengurangkan risiko jangkitan di antara ahli keluarga dan rakan-rakan menjelang perayaan Hari Natal yang bakal disambut esok.

Lantaran itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai menggunakan teknologi telekomunikasi untuk berhubung dengan ahli keluarga dan rakan-rakan bagi menggantikan amalan ziarah-menziarahi.

“Pada tahun ini, kita akan meraikan sambutan Hari Natal dengan norma baharu berbanding tahun-tahun yang lalu. Sehubungan itu, KKM ingin mengingatkan rakyat Malaysia agar sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan.

“Selain itu, hendaklah sentiasa amalkan kebersihan kendiri dengan kerap mencuci tangan dan juga menjaga kebersihan persekitaran. Sejajar dengan perkembangan teknologi telekomunikasi terkini, rakyat Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan panggilan video sebagai gantian amalan ziarah-menziarahi.

“Dengan amalan baharu ini, kita sama-sama dapat melindungi warga tua dan kumpulan-kumpulan rentan daripada dijangkiti Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, dengan cara ini risiko jangkitan dapat dikurangkan

“Rakyat Malaysia juga diingatkan untuk mengurangkan risiko jangkitan di antara ahli keluarga dan rakan-rakan dengan mengamalkan norma baharu seperti elakkan sembang dari jarak dekat dan menggunakan pelitup muka.

”Elakkan daripada berkumpul dalam jangka masa yang lama kerana ianya akan meningkatkan risiko penularan jangkitan Covid-19,” tambah beliau.

Berikutan situasi peningkatan kes Covid-19 dalam negara yang telah mencapai jumlah kumulatif sebanyak 100,318 kes, Noor Hisham menasihatkan rakyat Malaysia lebih berwaspada dan berhati-hati dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan.-MalaysiaGazette