Tujuh individu yang terdiri daripada pengarah syarikat perkapalan dan juga pengarah agensi kerajaan dihadapkan mahkamah untuk dua permohonan reman, dua sambung reman dan tiga perintah dibebaskan oleh SPRM berhubung siasatan kes skandal minyak gred berat di perairan negara di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2020

TATKALA belum reda isu rasuah di beberapa buah agensi penguatkuasaan, kita
dikejutkan pula dengan pendedahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa
di kaunter hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ironinya, kepincangan ini
didedahkan oleh Ketua Pengarah JPJ sendiri. Ini menunjukkan masalah rasuah di
negara kita semakin parah, serius dan kelihatan begitu sukar untuk ditangani
mahupun dikawal.

Walaupun pelbagai ikhtiar dan inisiatif telah dilaksanakan namun hasilnya tidak
seperti yang kita mahukan. Apa yang pasti, yang memberi terus menghulurkan
habuan untuk mencapai pelbagai hasrat mereka, manakala yang menerima pula
terus menadah dan mengambil kesempatan di atas jawatan, kuasa dan kedudukan
yang telah diberikan kepada mereka. Akibatnya, rasuah, ketirisan, penyelewengan
dan salah guna kuasa terus bermaharajalela sekali gus merosakkan sistem
pentadbiran di negara kita.

Ironinya faktor gaji rendah dan tidak mencukupi bukan lagi suatu alasan yang
rasional dan boleh diterima pakai. Hakikatnya rasuah bukan lagi norma baharu dalam
masyarakat kita sebaliknya sudah menjadi amalan rutin yang tidak boleh disorokkan
lagi kerana ianya tidak kelihatan sebagai perbuatan yang salah mahupun berdosa.
Ringkasnya, rasuah sudah mula dianggap sebagai perkara biasa dan tidak ada apa
yang perlu dihairankan, dimalukan atau ditakuti untuk melakukannya.

Sedar atau tidak kita semakin beralih ke arah menjadi sebuah masyarakat yang imun
atau mangli dengan rasuah. Fenomena ini bakal merosakkan sistem pentadbiran
kerajaan, menggadai nilai-nilai murni dalam masyarakat dan juga menghancurkan
masa hadapan rakyat dan negara secara perlahan-lahan. Justeru perlu ada tindakan
bersepadu secara menyeluruh di semua peringkat lapisan masyarakat jika kita mahu
menangani masalah defisit integriti ini.

Antaranya, semua agensi awam terutamanya agensi penguatkuasaan perlu
dibersihkan terlebih dahulu. Tuntasnya, laksanakan proses pemutihan dengan segera
dengan mencari, mengenalpasti dan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai
dan anggota yang terlibat. Jangan kompromi dalam soal mengenakan hukuman
undang-undang dan tatatertib yang sewajarnya atas kesalahan mereka. Dalam
konteks ini satu perkara yang perlu diberi perhatian serius ialah hukuman yang sedia
ada. Tidak keterlaluan untuk dikatakan hukuman yang sedia ada masih belum
mampu menakutkan dan mencegah seseorang individu itu terlibat dengan rasuah.
Jadi eloklah semak dan menambah baik hukuman tersebut agar lebih keras dan
menggerunkan semua pihak.

Setiap agensi penguatkuasaan juga wajib melaksanakan proses saring, pilih dan
tempatkan pegawai yang benar-benar ada integriti yang tinggi di semua lokasi yang
sensitif dan berpotensi untuk berlakunya elemen salah guna kuasa, penyelewengan
dan rasuah. Di samping itu proses penempatan dan pertukaran pegawai dan anggota
dari tempat sensitif juga wajar dikerapkan. Justeru dicadangkan perlu ada sebuah
jawatankuasa khas yang bebas untuk melakukan proses pemilihan dan penempatan
tersebut.

Seterusnya, proses pengisytiharan harta dalam kalangan penjawat awam juga perlu
diteliti semula dan dimantapkan. Jelas sekali sistem yang ada tidak dapat memantau

dan memberikan gambaran yang telus dan menyeluruh tentang pendapatan dan
pemilikan harta mereka. Ironinya pengisytiharan harta ini sepatutnya menjadi
mekanisme terbaik untuk memantau pendapatan dan pemilikan harta yang tidak
betul dalam kalangan penjawat awam termasuk ahli keluarga mereka. Justeru, ianya
perlu ditambahbaik dengan segera. Misalnya, pengisytiharan harta perlu lebih kerap
dan lebih telus terutamanya membabitkan pasangan dan ahli keluarga terdekat yang
lain.

Dalam pada itu, setiap agensi juga perlu kerap melaksanakan program pendidikan
dan pencegahan untuk mewujudkan kesedaran dan peringatan dalam kalangan
warga kerja secara berterusan. Janganlah ada kes baru kita kelam kabut, sebaliknya
program pendidikan kesedaran perlu menjadi amalan rutin terutamanya dari segi
didikan rohani.

Pada masa yang sama jangan juga kita lupa jika tiada penawaran maka tidak akan
ada permintaan. Justeru, mana-mana individu yang memberi rasuah atau
menawarkan sebarang bentuk habuan dengan niat yang tidak betul juga perlu
dikenakan hukuman yang lebih keras kerana mereka yang memulakannya dan
merosakkan semuanya.

Kita juga berharap agar individu yang berani tampil ke hadapan untuk melaporkan
gejala rasuah diberi jaminan dari segi keselamatan dan masa hadapannya. Kita tidak
mahu mereka ini pula menjadi sasaran dan mangsa keadaan kelak. Jika penjawat
awam, di samping diberi insentif seperti dijanjikan, naikkan pangkat mereka dan
angkat serta iktiraf mereka sebagai ikon integriti jabatan tersebut. Biar mereka
menjadi suri teladan dan penyuntik motivasi kepada rakan-rakan mereka yang lain.

Sesungguhnya rasuah membabitkan sikap dan tingkah laku seorang individu. Justeru
ianya tidak boleh berubah dalam sekelip mata atau diubah oleh orang lain begitu
saja. Maka, untuk melahirkan generasi masa hadapan yang celik rasuah dan
menjunjung integriti, kita perlu fokus kepada anak-anak yang berada di bangku
sekolah sekarang. Mereka ini perlu dididik dan diasuh untuk membenci rasuah
umpama melentur buluh biarlah dari rebungnya dan ianya membabitkan peranan
dan tanggungjawab para ibu bapa dan juga guru yang sentiasa mendampingi anak-
anak.

Walaupun keadaan cukup mencemaskan namun penulis percaya masih ada sinar di
hujung terowong untuk kita menangani masalah rasuah dalam masyarakat kita. Apa
yang penting ialah, semua pihak perlu sanggup dan sedia memasang tekad dan
iltizam secara serius untuk membudayakan amalan membenci rasuah. Semoga kita
dapat mengawal dan memutuskan rantaian penularan pandemik rasuah ini.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Bila sebut rasuah, nampak buruk pd penjawat awam Melayu. Hingga dah jd persepsi yg Melayu makan rasuah. Sebab apa? Sebab yg dok kena dakwa cuma puak puak ni. Yg puak memberi pulak siapa? Kenapa kurang kena dakwa? Kita pun tahu puak yg kuat merasuah ni kaum mana tp takda pulak timbul persepsi begitu kat kaum ini.
    Semua rasuah penjawat awam ni dah jd strategi kaum pendatang sejak zaman tanah melayu lagi. Kaum pendatang tahu diorg susah nak dapat peluang di tanah org. Jd diorg mula rasuah pembesar Melayu. Bristish sogok ufti dan sokongan politik, pelombong sogok duit. Hingga British boleh jajah tanah melayu, dan pelombong iji kuasai ekonomi Malaysia hingga sekarang.
    Bukan tu shj, org Melayu sendiri pulak jd susah nak berurusan atau berniaga sbb jika tak rasuah, semua pun jd susah. Sbb itu lah budaya yg sejak dahulu kala diajar puak puak pendatang.

  2. Rasuah ni tradisi kerajaan dahulu. Bila bertukar kerajaan rasuah baru lah nampak. Kalau masih kerajaan lama rasuah tetap halal dan menjadi keperluan masyarakat.

Comments are closed.