KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan dianggap emosional dan bermain politik kotor dalam usaha menutup penipuannya dalam isu penamatan feri Pulau Pinang.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong melakukan serangan peribadi terhadapnya.
“Tidak ada logik untuk dakwaan Wee bahawa saya bersikap seolah-olah saya adalah Ketua Menteri hanya kerana saya secara terbuka membawa isu perkhidmatan feri Pulau Pinang yang berusia 126 tahun ini.
“Adakah salah untuk seorang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari Pulau Pinang untuk bersuara bagi pihak rakyat Pulau Pinang, terutamanya apabila terminal feri di Seberang Perai terletak di kawasan saya dalam kawasan Parlimen Bagan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Guan Eng, Ka Siong tidak dapat menunjukkan bukti bahawa kerajaan Pakatan Harapan atau dirinya telah bersetuju untuk menamatkan dan menggantikan perkhidmatan feri Pulau Pinang.
“Dia telah berusaha mengheret mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan bahkan adik saya, Senator Lim Hui Ying yang kononnya bersetuju terhadap penamatan perkhidmatan feri. Anthony dan Hui Ying telah menafikan dengan keras usaha Wee untuk memecahbelahkan pemimpin DAP dengan tuduhan palsu,” katanya lagi.
Menurutnya, adakah Ka Siong juga ingin mengatakan Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz telah berbohong di Parlimen pada 17 Disember kerana Zafrul telah mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan di bawahnya dahulu telah menetapkan penerusan perkhidmatan feri ikonik sebagai syarat untuk meluluskan pemberian wang tunai RM30 juta kepada Penang Port Sdn Bhd untuk menjalankan perkhidmatan feri.
“Ka Siong mendakwa bahawa menggantikan perkhidmatan feri ikonik dengan katamar adalah langkah yang lebih praktikal untuk melindungi keselamatan penduduk Pulau Pinang.
“Izinkan saya mengulangi bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak pernah menentang penambahan katamar dengan syarat perkhidmatan feri sedia ada dapat diteruskan.
“Kami menyedari kos dan kesukaran untuk mencari alat ganti yang sesuai. Enjin baru boleh dipasang pada feri ikonik atau pembuatan 3D dapat menghasilkan alat ganti yang tidak lagi dalam pengeluaran.
“Itulah sebabnya kami mendesak agar dua atau tiga feri yang masih ada dibenarkan beroperasi. Dengan kata lain, katamar akan beroperasi selari dengan perkhidmatan feri yang ada seperti yang diamalkan oleh banyak negara seperti Hong Kong atau Kanada, kewujudan bersama warisan dan kemodenan.
“Adakah begitu mahal untuk mengekalkan dua atau tiga feri untuk terus beroperasi?” soalnya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Ramai keliru, Pulau Pinang kini ada 2 ketua menteri – Ka Siong
Semua orang salah.. Kau je la yang suci