Gambar hiasan

SABAN tahun menjelang akhir tahun masuk awal tahun kita akan ditanyakan apakah azam tahun baru kita.Persoalannya sudah tertunaikah azam tahun lama?Tahun baru dikatakan penanda aras pencapaian baru bagi kerjaya, keluarga dan individu.Secara dasarnya kita sepatutnya menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.Hari ini sepatutnya lebih baik dari semalam.Jika tidak kita akan menjadi insan yang rugi dari segi masa dan usia yang tidak akan bertambah muda.

Menurut dari segi kerjaya dan organisasi lebih relevan tahun sebagai penanda aras kerana ada penilaian prestasi tahunan juga laporan tahunan.Bagi pencapaian individu dan keluarga ianya lebih bersikap subjektif.Boleh jadi seseorang mempunyai lebih ramai anak, lebih banyak anugerah yang diterima ahli keluarga, lebih banyak rumah, lebih banyak kereta, lebih kurang hutang yang rata-rata penandanya berbentuk materialistik yang bersifat duniawi.

Bagi sisi agama untuk manusia yang beragama, pencapaian tahunan adalah satu muhasabah diri samada menjadi insan lebih baik, lebih bersedia untuk ke kampung akhirat, lebih beriman, lebih bertaqwa, lebih kurang dosa dan aib dirinya ,selain hal-hal duniawi sahaja. Azam ialah pernyataan kesungguhan bagi mencapai matlamat tertentu.Senang sahaja mengucapkan azam tanpa benar-benar erealisasikannya.Berazam dan berangan-angan itu juga percuma sahaja.

Azam juga dari segi falsafahnya menunjukkan bahawa manusia secara umumnya menunjukkan keinginan untuk berubah dari banyak segi. Namun secara amnya manusia ini sukar untuk berubah sikap dan perilakunya. Antara faktor yang memungkinkan perubahan diri seseorang ialah apabila melalui pengamalan hidup yang sukar yang bisa mendewasakan seseorang.Oleh itu ujian itu perlu bagi muhasabah diri seseorang menjadi individu yang lebih baik.Terpulang kepada manusia untuk mengambil pengajaran akan apa yang dijalani menggunakan akal dan budi yang dikurniakan Ilahi.Jika
tidak tersedar maka individu itulah sendiri yang rugi.

Untuk mencapai azam baru perlu perubahan sikap positif dan optimis juga cuba meninggalkan sikap-sikap negatif untuk pembangunan diri. Tiada perubahan sikap atau pencapaian mungkin baik tetapi takutnya secara spiritualnya kosong.Ini mungkin lebih baik daripada seseorang yang berubah 360 darjah menjadi lebih teruk dari sebelumnya.

Manusia juga secara dasarnya suka mempertontonkan sisi baiknya dan menyembunyikan sisi buruknya melainkan orang yang pernah bekerjasama dengannya akan ada pengalaman berurusan dengannya samada baik atau buruk. Warna sebenar seseorang mungkin dilihat walaupun cuba bersikap hipokrasi.

Seseorang yang terlihat zahirnya baik tidak semestinya baik. Sebaliknya juga
seseorang yang terlihat zahirnya buruk juga tidak semestinya buruk. Pakaian terutamanya bisa menipudaya kerana pakaian terbaik yang sebenar bukanlah bagus dan cantiknya material bajunya tetapi pakaian taqwa.Iman juga bukan sahaja terucap di bibir tetapi dimanifestasi di hati dan terbit dengan perlakuannya.

Sayugia diingatkan bahawa manusia juga bisa menipu dengan kata-katanya.
Segala sikap dasar manusia ini menyumbang pada perubahan sikap dan perubahan seseorang. Usaha juga azam ke arah lebih baik memerlukan komitmen, iltizam dan istiqamah. Selain itu perlu juga sikap ambil peduli juga sikap tidak mementingkan diri sendiri.Ini penting terutamanya dalam mencapai matlamat kerjaya dalam organisasi yang tidak mungkin bergerak sendiri-sendiri.

Haruslah diingat bahawa hidup ini ibarat roda. Kadang-kadang kitalah yang paling terkanan dan berkuasa bagai dunia ini kita yang punya. Namun struktur sesetengah organisasi terkadang tidak menyebelahi dan memungkinkan seseorang itu kekal berkuasa. Akan ada juga ketika pada suatu masa nanti kita perlu tunduk dan akur pada kehendak yang berkuasa. Dalam mengejar azam dan cita-cita ramai yang hilang arah dan pedoman. Walau difahami bahawa manusia itu tidak sesempurna namun yang penting ialah mempunyai dan mengamalkan norma-norma yang diterima ramai.

Sesetengah manusia mempunyai norma yang terpilih-pilih mengikut mengikut kepentingan, kesesuaian dan keselesaan diri.Berada pada tahap selesa juga antara sebab yang menyebabkan kurangnya motivasi dan jati diri untuk mencabar diri bagi mencapai tahap yang lebih tinggi. Faktor-faktor ini menyebabkan kurangnya toleransi yang menyukarkan komunikasi bagi mencapai matlamat organisasi dan hakiki.

Sesetengah manusia suka mengambil kesempatan dan boleh dikenalpasti modus operandinya yang menyebabkan diri masih berada di takuk yang lama.Tahun baru kita perlu bermuhabasah bahawa kita bukan hidup sendiri.Bila sesetengah hal tidak seindah yang diimpikan maka renung-renungkanlah dalam mengejar destinasi apakah yang disisihkan di tepi.Selain faktor sikap dan dirinya, masalah persekitaran juga penyebab azam lama sukar tertunai.Ditambah dengan norma hidup zaman Covid-19 sepanjang 2020 ini membuatkan kita nampaknya terpaksa hidup beradaptasi dengan pandemik samada kita suka atau tidak.Mungkin juga ada hikmah yang tersirat dan tersurat.
Yang penting bukanlah azam baru tetapi empunya dirilah yang perlu memperbaharui niat, sikap, iltizam dan motivasi diri. Azam adalah pemangkin bagi mencapai cita-cita duniawi dan ukhrawi.

Benar seseorang perlukan masa untuk berubah namun yang penting ialah keredhaan dan restu Ilahi yang memungkinkan semua perubahan terjadi.Selain itu roda dan rona hidup yang dilalui seharusnya membuka mata hati agar pisang tidak berbuah dua kali dan terjadilah azam itu tidak lain hanya sebuah retorik perbincangan tahunan ditambah dengan pelbagai rencah dan rasa.

Dr.Noor Dzuhaidah Osman
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia