KUALA LUMPUR – Nampaknya teguran Tan Sri Annuar Musa terhadap pimpinan Barisan Nasional (BN) mendapat respon daripada sesetengah pimpinan UMNO.
Salah seorang daripadanya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau seolah-olah menafikan dakwaan BN sukar memenangi pilihan raya sekiranya tidak menguasai aparatus dan tidak menjadi pemerintah.
“Maaf ya. Biasanya kalau beza sesama sendiri kita hanya bercakap dalam bilik. Oleh kerana 2020 dah nak tutup tirai rasanya nak ikut sama sembang di serambi. Biarlah jiran dengar.
“Sejak PRU-14 berlaku 12 pilihan raya kecil. Tujuh darinya BN menang. Walaupun tak ada kuasa. Tak ada sumber. Tak ada aparatus. Tahun 2018 ada empat PRK. Semua PH menang. Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.
“Tahun 2019 ada lima PRK. Empat BN menang dan satu PH. BN menang Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai. PH menang Sandakan.
“Tahun 2020. Ada tiga PRK. Semua BN menang. Kimanis, Chini dan Slim. Paling klasik di Tanjung Piai lawan PPBM. Menang lebih 15,000 majoriti. Begitu juga di Semenyih lawan PPBM yang memerintah,” katanya.
Apa pun, Ahmad Shabery berkata, rakyat sedang memerhatikan dan mereka sangat bijak membuat keputusan.
“Sumber dan aparatus ada peranannya tetapi tidak segalanya. Banyak lagi faktor yang menentukan kepercayaan mereka kepada kita atau sesiapa.
“Mungkin yang lepas ada kelemahan kita, namun selepas kita mereka mula buat perbandingan,” ujarnya sambil memuat naik
ciapan Annuar.
Beliau berkata, PH hanya kuat dalam tahun pertama mereka memerintah dan itu pun tahun bulan madu mereka dan selepas itu rakyat buat perbandingan.
“Bila kena sumbat lima gol berturut-turut mereka kucar kacir. Rumah tangga PH runtuh.
“Sekarang pun rakyat masih memerhatikan kita. Bukan bagaimana kita gunakan sumber dan aparatus tapi bagaimana kita menjaga amanah untuk berikan yang terbaik untuk mereka. Apa-apa pun boleh berlaku,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: