juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) menguasai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) selepas membolot lima kategori utama yang dipertandingkan pada kali ini.

PETALING JAYA – Seperti diramalkan, juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) menguasai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) selepas membolot lima kategori utama yang dipertandingkan pada kali ini.

Penjaga gol kebangsaan Farizal Marlias dinobatkan selaku penjaga gol terbaik buat kali kelima selepas empat edisi terdahulu — 2009, 2015, 2018 dan 2019, manakala pemain pertahanan tengah kebangsaan Aidil Zafuan Abdul Radzak pula memenangi anugerah pemain pertahanan terbaik buat kali keempat selepas meraih gelaran sama pada 2009, 2010 dan 2012.

Pemain sayap kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid yang kembali ke JDT setelah dipinjamkan selama beberapa bulan ke kelab Liga Portugal, Portimonense SC pula dipilih sebagai pemain tengah terbaik buat kali kedua selepas 2018.

Skuad Harimau Selatan turut mempertahankan anugerah pasukan terbaik buat kali ketiga berturut-turut selepas 2018 dan 2019, selain pengendali pasukan berkenaan, Benjamin Mora dari Mexico turut diumumkan sebagai jurulatih terbaik susulan kejayaan pasukan itu mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi sejak 2014.

Buat julung kalinya, ABK20 diadakan secara maya (virtual) dan disiarkan secara langsung dari ibu pejabat MFL di Kelana Jaya di sini malam ini bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan susulan penularan pandemik COVID-19.

Sementara itu, penyerang kebangsaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang beraksi dengan Perak meraih dua anugerah iaitu penyerang terbaik buat kali kedua selepas 2017, selain menerima anugerah penjaring terbanyak Liga Super (pemain tempatan) setelah meledak 10 gol.

Penyerang import Selangor, Ifedaya Olusegun Omosuyi dari Nigeria, turut meraih dua anugerah iaitu anugerah Kasut Emas (penjaring terbanyak) selain anugerah penjaring terbanyak Liga Super menerusi ledakan 12 gol yang dilakar pada musim ini.

Penyerang muda Selangor 2 Ahmad Danial Ahmad Asri pula diumumkan selaku penerima anugerah penjaring terbanyak Liga Premier (pemain tempatan) setelah mengumpul tujuh gol, manakala gelaran penjaring terbanyak Liga Premier menjadi milik penyerang import Pulau Pinang, Casagrande dari Brazil yang meledakkan sembilan gol.

Sokongan padu yang diberikan penyokong bola sepak tempatan terhadap saingan Liga Malaysia pada musim ini turut mendapat pengiktirafan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang bersetuju memilih mereka sebagai penerima anugerah Pemain Paling Bernilai (Most Valuable Player).

Pemilihan pemenang ABK20 diputuskan menerusi 70 peratus markah daripada juri profesional serta 30 peratus daripada penyokong.

Senarai pemenang ABK20:

Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT)

Pemain Pertahanan Terbaik: Aidil Zafuan Abdul Radzak (JDT)

Pemain Tengah Terbaik: Muhammad Safawi Rasid (JDT)

Penyerang Terbaik: Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak)

Anugerah Kasut Emas: Ifedayo Olusegun Omosuyi (Selangor) 12 gol

Penjaring Terbanyak Liga Super: Ifedayo Olusegun Omosuyi (Selangor) 12 gol

Penjaring Terbanyak Liga Super (Pemain Tempatan): Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak) 10 gol

Penjaring Terbanyak Liga Premier: Casagrande (Pulau Pinang) sembilan gol

Penjaring Terbanyak Liga Premier (Pemain Tempatan): Ahmad Danial Ahmad Asri (Selangor 2) tujuh gol

Pasukan Terbaik: JDT

Pemain Paling Bernilai (MVP): penyokong bola sepak Liga Malaysia (pemain ke-12).- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast