Boris Johnson
LONDON – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sudah tentu akan kehilangan kedudukannya dan tidak satu pun daripada kedua-dua parti politik utama akan memperoleh majoriti pada pilihan raya akan datang.
Ia merupakan hasil tinjauan pendapat mengenai persepsi masyarakat terhadap pengendalian Johnson dalam perbincangan Brexit yang baru selesai dan pandemik Covid-19 selepas beliau tidak membenarkan keluarga bertemu pada hari Krismas di beberapa bahagian di selatan England untuk memerangi penyebaran virus.
Lebih daripada 22,000 orang responden terlibat dalam kaji selidik tersebut yang adakan selama empat minggu pada bulan Disember lalu oleh syarikat data penyelidikan Focaldata dan diterbitkan oleh Sunday Times.
Kajian itu mendapati Konservatif yang berkuasa akan kehilangan 81 kerusi, sekali gus kehilangan majoriti 80 kerusi.
Ini akan menjadikan Konservatif hanya memperoleh 284 kerusi, sementara Parti Buruh pembangkang pula akan mendapat 282 kerusi, menurut tinjauan itu.
Parti Nasional Scotland, dijangka mendapat 57 dari 59 kerusi di Scotland, yang bermaksud parti itu berpotensi memainkan peranan sebagai pembuat keputusan dalam pembentukan kerajaan.
Johnson pula berisiko kehilangan sokongan di tempatnya sendiri di Uxbridge, menurut tinjauan itu.
Johnson memperoleh kemenangan pilihan raya yang hebat tahun lalu, membolehkannya mengeluarkan Britain daripada orbit Kesatuan Eropah pada malam tahun baru setelah hampir setengah abad menjalinkan hubungan erat.
Tetapi kepemimpinan Johnson mungkin ditentukan oleh tindak balas kerajaan terhadap pandemik koronavirus, yang telah membunuh lebih daripada 74,000 orang dan menghancurkan ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast