Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases deaths Malaysia
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 673 kes atau 39.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes harian baharu diikuti Sabah (316 kes) dan Johor (179 kes) Covid-19.

Ia disusuli Kuala Lumpur (112 kes), Pulau Pinang (103 kes), Perak (75 kes), Negeri Sembilan (72 kes), Kedah (53 kes), Kelantan (47 kes), Pahang (21 kes), Putrajaya (17 kes), Labuan (16 kes), Sarawak (10 kes), Melaka (10 kes), Terengganu (4 kes) manakala Perlis (0 kes).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, daripada jumlah kes yang dicatatkan Selangor, sebanyak 509 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Sebanyak 74 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (56 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (7 kes).

“Juga Kluster Tembok Choh (5 kes), Kluster Tembok Gajah (3 kes), Kluster Tembok (2 kes), dan Kluster Kolam Air (1 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, sehingga 3 Januari, terdapat 532 kluster dilaporkan termasuk sembilan kluster baharu dikenal pasti pada hari ini.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 300 kluster termasuk enam kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Sungai Cincin, Kluster Tempasuk, Kluster Jalan Tuaran, Kluster Gangsa, Kluster Plaza, dan Kluster Teluk.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 232 kluster,” ujaarnya.

Tambah beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 59 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

Katanya, kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Kebun Baru (89 kes), Kluster Beringin (82 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (56 kes), dan Kluster Sungai Putus (56 kes). – MalaysiaGazette