Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diingatkan tidak menjadikan Covid-19 sebagai alasan untuk melengah-lengahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memandangkan Malaysia bakal menerima vaksin pada bulan depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, PRU15 perlu diadakan segera kerana negara ini memerlukan kestabilan politik demi kelangsungan ekonomi.
“Jangan jadikan Covid-19 sebagai alasan untuk kita menundakan apa yang harus kita lakukan. Apabila sampai vaksin tidak ada alasan untuk menjadikan Covid-19 untuk halangan PRU. Vaksin ini bagaikan cahaya di hujung terowong.
“Kestabilan politik ini penting untuk kekukuhan ekonomi. Sebelum ini pelabur yang datang ke Malaysia meletakkan kekukuhan politik sebagai sebab utama mereka datang.
“Tetapi sekarang Malaysia tiada kestabilan politik, oleh itu mereka keluar dari tempat kita atau tidak singgah langsung. Mereka pergi ke rantau lain yang politiknya lebih stabil dari kita.
“Oleh kerana, Kerajaan Perikatan Nasional mempunyai majoriti paling tipis dalam dunia. Untuk menjadi kerajaan perlu ada 112 dan kerajaan sekarang ada 112, oleh kerana itu PRU perlu diadakan segera,” katanya selepas menghadiri mesyuarat UMNO Bahagian Pontian di sini.
Tambahnya, Majlis Tertinggi UMNO yang akan berjumpa pada 6 Januari ini akan membincangkan usul-usul yang dibawa oleh Bahagian-Bahagian.
Ahmad berkata, parti itu telah meminta semua Bahagian UMNO bersiap sedia untuk berdepan dengan PRU enam bulan lalu.
“Sebahagian Bahagian sudah ambil serius apa yang dibincangkan terutama kawasan yang UMNO atau Barisan Nasional bertanding kerana kita mahu menang”,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast