Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti lima kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan dikesan di Selangor, Perak, Melaka, dan Kuala Lumpur.

Antara kluster-kulster baharu tersebut adalah Kluster Jalan Duyong, Kluster Pasar Jalan Sentosa, Kluster Jalan Nakhoda, Kluster Ehsan Ibol, dan Kluster Telok Mas.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 306 kluster termasuk enam kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Batu Sembilan, Kluster Saguking, Kluster Monsoon, Kluster Buntar, Kluster Sky Coklat, dan Kluster Gading.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 231 kluster,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, sebanyak 50 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Jalan Duyong (95 kes), Kluster Jalan Perindustrian (81 kes) dan Kluster Hentian (73 kes).

Justeru, Noor Hisham mengingatkan orang ramai agar patuh kepada prosedur operasi standard yang telah ditetapkan KKM bagi memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini. – MalaysiaGazette