LONDON – Manchester City tidak menunjukkan belas kasihan terhadap Chelsea yang bertambah parah dalam liga Perdana Inggeris (EPL) apabila membelasah 3-1 dalam aksi pagi tadi.
Dalam perlawanan di Stamford Bridge, Chelsea yang dijangka akan mengekang skuad Pep Guardiola bagaimanapun tersungkur di halaman sendiri.
Tiga gol di separuh masa pertama menambah tekanan ke atas pengurusnya Frank Lampard dan menghancurkan harapan merekodkan kemenangan di halaman sendiri selepas dikecewakan Aston Villa sebelum ini.
Chelsea sememangnya memulakan perlawanan dengan penuh bertenaga menentang pasukan kendalian Guardiola tetapi hilang motivasi selepas gol pembukaan pasukan pelawat itu.
Selaku pelawat, Man City tidak mengambil masa yang lama apabila gol pertama dibuka pada minit ke-18 oleh perancang tengah pasukan itu, Ilkay Gundogan.
Belum sempat bangkit dari gol awal itu tidak dijangka itu,tuan rumah sekali lagi dihukum dengan gol kedua menerusi Phil Foden tiga minit kemudian yang menyudahkan bola hantaran Kevin de Bruyne.
Chelsea terus parah apabila de Bruyne membuka gol ketiga pasukan pada minit ke-34 sebelum separuh masa pertama ditangguhkan.
Anak buah Lampard yang tidak sanggup dimalukan teruk di halaman sendiri terus berusaha mengurangkan defisit tersebut namun menemui jalan buntu.
Namun pada minit kecederaan ke-92 gol saguhati the Blues hadir menerusi Callum Hudson-Odoi.
Keputusan itu memastikan Man City melonjak ke tangga kelima dalam carta liga dengan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu Liverpool dan Manchester United.
Sementara itu Lampard mengakui pasukannya sedang melalui saat getir selepas dikecewakan Aston Villa di halaman sendiri pada Isnin minggu lalu.
Bekas penyerang pasukan itu Chris Sutton menggelar Chelsea sebagai ‘kelab berkrisis’ selepas terikat seri 1-1 dengan skuad kendalian Dean Smith apabila hanya mampu mengumpul empat mata daripada enam perlawanan terakhir.-MalaysiaGazette