Najib Razak
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa keputusan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mahu supaya kereta api laju (HSR) berakhir di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) sangat pelik.
Ini kerana, pengunjung dari Singapura yang menggunakan HSR itu sudah tentu mahu perjalanan terus ke Kuala Lumpur dalam masa singkat, bukan ke KLIA untuk bertukar tren yang lebih perlahan.
Selar Najib, pastinya pengunjung dari Singapura yang mahu ke KLIA untuk naik kapal terbang, mereka akan menggunakan lapangan terbang mereka.
”Buat apa mereka nak naik tren HSR untuk ke KLIA?,” soalnya.
Beliau mengulas pendedahan Menteri Pengangkutan Singapura yang memberitahu Parlimen negara itu sebab utama projek HSR KL-Singapura dibatalkan kerana Kerajaan Malaysia tidak mahu tender-tender kontraktor serta pemilihan teknologi tren dibuat secara tender terbuka dan dinilai serta dipantau bersama Singapura.
Sedangkan kata Najib, beliau yang memulakan projek ini dulu sengaja mahu kedua-dua negara bertanggungjawab atas kejayaan projek tersebut supaya penyelewengan dapat dikurangkan atau dielakkan.
Pendekatan Kerajaan PN, kata Najib, agak berbeza kerana mahu memilih kontraktor dan vendor projek secara terus tanpa campur tangan negara Singapura.
Kerajaan Singapura juga tidak bersetuju dengan permintaan Kerajaan PN untuk tren HSR berakhir di KLIA.
Di KLIA, penumpang akan tukar ke tren ERL milik syarikat YTL yang lajunya separuh dari kelajuan tren HSR untuk menyambung perjalanan ke ibu kota.
”Oleh sebab Kerajaan Singapura tak setuju dengan dua permintaan utama Kerajaan PN, Malaysia pun batalkan perjanjian tersebut dengan membayar ganti rugi sekurang-kurangnya RM320 juta hingga RM1 bilion.
“Projek bukan dibatalkan Malaysia sebab Covid-19 seperti diumumkan Kerajaan PN,” katanya sambil memaklumkan kerajaan membuat keputusan untuk lanjutkan tren ERL ke Johor Bahru sebagai projek HSR KL-Johor Bahru medium laju dengan kos hampir sama projek HSR KL-Singapura yang dibatalkan mereka.
“Oleh sebab syarikat operasi akan rugi memanjang akibat jumlah pendapatan dan penumpang yang akan jauh menurun jika tidak sampai ke Singapura, Kerajaan PN juga bersetuju membayar pampasan setiap tahun kepada syarikat ERL,” kata Najib. – MalaysiaGazette