Halimah Mohamed Sadique

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara menggerakkan semua jentera Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan kejiranan Rukun Tetangga di beberapa negeri yang terlibat dengan bencana banjir.

Menurut Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, SRS berkenaan telah digerakkan ke Johor, Pahang, Terengganu, Perak, Selangor dan Kelantan.

Tugasan jentera SRS ialah membantu menjaga keselamatan harta benda ditinggalkan mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan memastikan tiada mangsa terkandas di kawasan bencana itu.

“Jentera SRS digerakan ke negeri berkenaan berikutan keadaan banjir yang semakin serius,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Kata Halimah, rondaan oleh SRS itu dijalankan setiap hari melalui penggiliran tiga syif melibatkan sekurang-kurangnya lima peronda setiap syif.

Sebanyak 1,187 SRS di negeri berkenaan terlibat, antaranya Johor di daerah Segamat 17 SRS, Batu Pahat (44), Kluang (55), Mersing (58), Pontian (29), Kulai (54), Kota Tinggi (86) dan Johor Bharu (130).

Pahang pula melibatkan daerah Bentong sebanyak 28 SRS, Temerloh (40), Raub (25), Maran (47), Lipis (9), Jerantut (57), Rompin (34), Pekan (43) dan Kuantan (185).

Perak, daerah Hilir Perak 22 SRS, Kampar (14) dan Muallim (9); manakala Terengganu, di daerah Kemaman 53 SRS dan Dungun 116; Selangor di Hulu Selangor sebanyak 55 SRS; dan Kelantan di Gua Musang sebanyak 15 SRS.

Jelas beliau, operasi rondaan SRS itu mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau turut mengarahkan jentera SRS di seluruh negara untuk bersiap sedia menjalankan tugas kawalan keselamatan di kawasan lain yang mungkin akan dilanda bencana banjir.

Selain itu, katanya, pasukan Skuad Uniti di semua daerah berkaitan turut diarahkan terlibat dalam Operasi Bantu Mula Bencana Banjir yang dijalankan oleh agensi lain.

“Bantuan oleh Skuad Uniti ini melibatkan pemindahan mangsa ke PPS, menyelamatkan harta benda, penyampaian sumbangan barang keperluan dan pembersihan rumah mangsa.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa semasa operasi pemindahan mangsa banjir ini serta menjaga kebersihan bagi mengelakkan penularan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette