Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan licik seorang lelaki yang bergerak secara solo dan mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang terbongkar apabila berjaya ditahan polis dalam serbuan di Jalan Cheras Hartamas baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Pandan Indah yang terlibat dalam rondaan cegah jenayah  terserempak dengan sebuah lori jenis Isuzu Commando dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan di Taman Cheras Indah Khamis lalu.

Dalam kejadian sekitar 9.30 pagi itu,ketika anggota polis bertugas mengekori lori berkenaan sehingga ke Jalan Cheras Hartamas, lelaki berusia 34 tahun itu melarikan diri selepas sedar dirinya diekori.

“Bagaimanapun suspek gagal dalam usahanya sebelum dicekup polis dan semakan ke atas lori itu mendapati kenderaan berkenaan dilaporkan hilang di kawasan Brickfields, Kuala Lumpur pada 29 Disember lalu,” kata beliau dalam sidang media hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, hasil soal siasat,  suspek mengaku terbabit dengan beberapa kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, polis turut merampas empat lagi kenderaan yang diletak di tepi jalan sekitar Pandan Indah iaitu dua buah van berjenama Toyota serta Nissan, sebuah kereta Proton Iswara Aeroback yang telah dilaporkan hilang di Pandan Indah dan sebuah lori jenis Nissan dilaporkan hilang di Kajang.

“Modus operandi suspek adalah dia bergerak secara solo dan menyasarkan kenderaan model lama yang diletakkan di tepi jalan sebelum melarikan kenderaan itu dan meleraikan serta menjual sebagai alat ganti.

“Polis sudah mempergiatkan usaha mengesan rakan suspek yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan berkenaan,” katanya.

Suspek kini direman selama enam hari bermula 1 hingga 6 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan curi kenderaan,” tegasnya.-MalaysiaGazette