Hafiz Hamidun.

LUALA PULUR Hafiz Hamidun mengumumkan kemunculan semula dengan membawa selawat Islam moden yang baru kepada peminat dengan pelancaran album studio keenam yang dinantikan, Marhaba.

Album itu susulan dari siri album Zikir Terapi dan dilancarkan pada 1 Januari 2020.

Serentak dengan pengumuman album, menandakan pra-pesanan untuk album fizikal boleh dibuat secara eksklusif melalui Shopee.

Sebanyak 3,000 set kotak yang mengandungi salinan album fizikal telah dijual untuk pra-pesanan sejak 12 Disember lalu.

Hafiz merakamkan sebahagian besar album Marhaba di Istanbul, Turki dan di studionya di Petaling Jaya bersama pemuzik dan jurutera yang sangat berbakat dari Turki, Mesir, Amerika Syarikat, Indonesia dan Australia.

Album Marhaba mengandungi 13 trek seperti Ya Imam Ar-Rusli, Ahmad Ya Habibi, Khairal Bariyyah dan banyak lagi.  Sebanyak12 video muzik akan menyusul selepas pelancaran album berkenaan dan dikeluarkan satu setiap bulan mulai Januari ini.

Sebagai penerbit utama Marhaba, Hafiz mempunyai harapan yang tinggi untuk kejayaan album yang sama.

“Sejak tahun 2015, saya menghabiskan lebih dari lima tahun berulang-alik dari Malaysia ke Turki, Mesir, dan Indonesia untuk menyempurnakan produksi album ini.

“Perjalanan itu sungguh hebat kerana saya mendapat peluang untuk bekerja dengan beberapa pemuzik dan jurutera terbaik di dunia.

“Saya bangga untuk mengakui projek ini sebagai projek muzik terbesar yang pernah saya ada, dan saya harap ia akan dikenali sebagai karya terbaik dari saya,” katanya.

Hafiz berkata, ketika menghasilkan album, dia selalu mengingatkan dirinya  ia mungkin karyanya yang terakhir.

“Dengan berbuat demikian, saya memberikan cabaran kepada diri saya untuk menjadikan album ini sebaik mungkin. Saya tahu album ini mungkin tidak sempurna tetapi satu perkara yang pasti ia adalah hasil dari titik peluh, darah dan air mata saya dalam pembikinan album ini,” katanya.

Sementara itu, evolusi Hafiz Hamidun tidak kurang hebatnya.

Setelah menjadi ahli kumpulan nasyid UNIC, dia menjadi artis solo dengan rentetan pelancaran ikonik, produser dan komposer pemenang anugerah, dan pengusaha muzik dengan jejak antarabangsa.

Sumbangan inovatifnya terhadap muzik nasyid telah menyebabkan dia dinobatkan sebagai salah seorang daripada 500 orang Muslim paling berpengaruh di dunia.

Perniagaan yang berminat untuk bekerjasama atau peluang media boleh mengetahui lebih lanjut di laman web Hafiz di https://hafizhamidun.com. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast