Mohd. Puad Zarkashi
KUALA LUMPUR –  Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mempersoalkan tindakan Tan Sri Annuar Musa yang ‘meraban’ selepas kedudukannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) digantikan dengan Datuk Seri Ahmad Maslan.
”Kenapa Annuar Musa meraban? Dia bukan dipecat. Cuma diganti oleh Ahmad Maslan. Itu jawatan dilantik. Memang boleh ditukar,” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor pernah digugurkan daripada jawatan yang sama dan digantikan oleh Annuar.
Tetapi Tengku Adnan tidak pun membuat sidang media untuk ‘membelasah’ presiden parti.
”Ahmad Maslan pernah jadi Ketua Penerangan UMNO. Dia diganti oleh Annuar Musa. Ahmad Maslan tidak pun buat PC (sidang media) belasah Najib.
”Tetapi lain pula Annuar Musa. Nampak his true color, katanya,
Mohd Puad berkata, Annuar ‘belasah’ Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan menyatakan surat Presiden UMNO kepada Yang di-Pertuan Agong sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah tulen.
Sedangkan, dakwa beliau, ramai tidak tahu, Annuar desak Ahmad selaku Setiausaha Agung UMNO supaya membuat laporan polis kononnya surat itu adalah palsu yang sengaja direka oleh Anwar.
”Kenapa mesti buat laporan polis? Kenapa mesti ikut game plan Hamzah Zainuddin. Kenapa sekarang dakwa surat itu tulen pula?
”Sebab itu slogan No Anwar No DAP bukan punca dia dipecat. Dia dendang sendiri alasan itu supaya dia dilihat hero Melayu yang berprinsip. Sebenarnya meraban,” ujar Mohd Puad. – MalaysiaGazette