Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini Selangor menjadi penyumbang kepada kes positif Covid-19 harian tertinggi, namun hari ini Johor pula mengatasi dengan 1,103 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,043 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif di lapangan.

“Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 706 kes atau 23.3 peratus dan Sabah sebanyak 493 kes atau 16.3 peratus,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19 di negara ini hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 63 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (35kes), Kluster Damai Pelangi (16 kes), Kluster Tembok Gajah (4 kes), Kluster Tembok Choh (4 kes), Kluster Tembok Mempaga (3 kes), dan Kluster Pagar Siput (1 kes).

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui sembilan lagi kluster baharu hari ini.

Katanya, kluster-kluster baharu itu adalah Kluster Senai Murni, di Kulai Johor; Kluster Tapak Bina Hartamas di Hulu Langat; Kluster Damai Pelangi di Hulu Selangor; Kluster Tapak Bina Jalan Ipoh dan Kluster Rungkup di Kepong; Kluster Desa Setapak di Titiwangsa; Klsuter Jalan Jaya di Cheras; Klsuter Zuarah Putra di Putajaya dan Kluster Keranji Tabuan di Kuching, Sarawak.

Sehubungan itu, Noor Hisham menggesa orang ramai supaya patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan KKM pada setiap masa. – MalaysiaGazette