MILAN – Juventus berjaya menamatkan rekod tanpa kalah pendahulu Serie A Itali, AC Milan musim ini dalam aksi dramatik semalam.
Juventus selaku juara bertahan sembilan musim berturut-turut diramal berdepan kesukaran menewaskan Milan berikutan aksi tidak konsisten sejak awal musim ini.
Namun, pasukan itu mempamerkan aksi penuh bergaya dan gol berganda Federico Chiesa berjaya menyekat kemaraan AC Milan dalam liga tempatan itu.
Kedudukan Ac Milan di tangga teratas dalam carta Serie A tidak tergugat dengan kekalahan julung kali musim ini semalam.
AC Milan selaku tuan rumah dikejutkan dengan gol awal pasukan pelawat menerusi Chiesa pada awal minit ke-18.
Bagaimanapun tuan berjaya bangkit menjaringkan gol penyamaan empat minit sebelum separuh masa pertama tamat.
Jentera AC Milan yang dibarisi Zlatan Ibrahimovic gagal mengekalkan rentak dan momentum perlawanan menggunakan kelebihan yang ada apabila Chiesa sekali lagi menjadi pemusnah dengan gol kedua pada minit ke-62.
Sebelum Milan sempat mengatur strategi untuk mencari gol penyamaan, Juventus berjaya merobek gawang tuan rumah dengan gol ketiga pada minit ke-76 menerusi perancang tengah Amerika Syarikat McKennie.
Dengan kemenangan itu Juventus melonjak ke tangga keempat dengan 30 mata menerusi 15 perlawanan.
Manakala AC Milan kekal mengungguli carta dengan 37 mata menerusi 16 perlawanan, sekaligus membantu Juventus mengurangkan defisit mata kepada tujuh mata sahaja.-MalaysiaGazette