Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin. Foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – Guna kereta mewah seludup dadah, kenderaan usang pula jadi ‘stor’ simpan bahan terlarang itu.

Itu modus operandi satu sindiket penyeludupan dadah agar tidak dihidu oleh mana-mana pihak sejak tiga bulan lepas di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mendedahkan pihaknya berjaya membuat rampasan dadah melibatkan sindiket berkenaan baru-baru ini.

Jumlah dadah yang dirampas mampu membekalkan kepada 265,654 penagih secara keseluruhannya.

“Ketika sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur menahan seorang lelaki berusia 41 di Kampung Batu Muda dan hasil pemeriksaan dua buah kenderaan jenis Perodua Bezza dan Saga merampas dadah jenis ganja serta wang tunai RM1,070.

“Hasil soal siasat berjaya membawa kepada pembongkaran seterusnya di mana polis pergi ke kawasan semak berhampiran serta memeriksa sebuah kenderaan jenis Daihatsu serta penemuan ganja seberat 187,460 gram.

“Pihak polis kemudian berjaya menahan  seorang lagi lelaki berusia 36 tahun di Taman Dewa Petaling, penahanan itu pula membawa kepada pembongkaran lain yang mana pemeriksaan sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Myvi dan berjaya merampas dadah.

“Kita juga sita Toyota Vellfire, Volkswagen Golf dan Perodua Aruz yang merupakan milik suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Kata Saiful Azly, hasil ujian air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis Benzo serta tujuh rekod dadah serta tiga rekod jenayah lampau.

“Manakala suspek kedua negatif dadah serta mempunyai dua rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Kes itu disiasat bawah Sesyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette