Harnarain Singh Gill
Harnarain Singh Gill

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) mengecam keras pembelian kenderaan Mercedes S560e oleh kerajaan Pulau Pinang sebagai kereta rasmi untuk kegunaan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Timbalan Pengerusinya, Harnarain Singh Gill menegaskan, ketika rakyat dan negara sedang menghadapi pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi dan bencana banjir, tidak wajar kerajaan negeri membelanjakan wang rakyat sehingga mencecah RM450,000 untuk pembelian sebuah kereta mewah.

“Walaupun kerajaan negeri sudah mengeluarkan kenyataan ada sedikit penjimatan dari harga asal, tetapi dana RM450,000 lebih wajar dibelanjakan untuk kebajikan rakyat di Pulau Pinang.

“Kos tinggi untuk pembelian kenderaan seperti ini, ditambah pula dengan kos penyelengaraan, elaun kenderaan rasmi Ketua Menteri dan lain-lain perbelanjaan, jelas dilihat sebagai pembaziran wang rakyat.

“Bukankah dana ini lebih berfaedah jika digunakan sebagai peruntukan agihan barangan keperluan harian, pelitup muka dan hand sanitizer kepada rakyat Pulau Pinang yang memerlukan, khususnya supaya golongan masyarakat B40 dapat dibantu menangani pandemik Covid-19 dan kembali kepada kehidupan seharian seperti dahulu kala?” soalnya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kerajaan Pulau Pinang semalam telah membeli sebuah kereta baharu model Mercedes S560e sebagai kereta rasmi Ketua Menteri bagi menggantikan kereta Mercedes S300L yang dibeli pada tahun 2013.

Kon Yeow dilihat menggunakan kereta baharu itu ketika hadir di upacara mengangkat sumpah Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Dewan Bandaraya di Deorgetown pada Khamis.

Ketua Menteri itu dilaporkan berkata, beliau baharu sahaja menerima kereta tersebut pada Rabu lalu.

Menurut Harnarain Singh, jika diperhatikan menteri dan timbalan menteri kerajaan pusat masih boleh melakukan tugas harian dengan efektif walaupun menggunakan kenderaan Proton Perdana dan Honda Accord sebagai kenderaan rasmi.

Ujar beliau, apa salahnya jika Ketua Menteri Pulau Pinang mengekalkan kenderaan Mercedes S300L yang dibeli pada tahun 2013 dengan harga hampir RM300,000 itu.

“Kita berharap rakyat di Pulau Pinang sedar dan dapat melihat pembaziran yang sedang dilakukan oleh Pakatan Harapan di negeri itu dan mungkin sudah sampai waktunya rakyat negeri itu menukar kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.