SALAH satu pandangan yang sering dilontarkan ialah para pemimpin yang lama berkecimpung dalam politik tanah air kita wajar bersara saja.
Yang disenaraikan ‘lama’ itu termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sesekali nama Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan Lim Kit Siang juga diraup ke dalam kategori ini.
Kata school of thought yang tidak mahu melihat pemimpin lama memimpin negara, sekaranglah masanya para pelapis wajar mengambilalih tampuk pemerintahan negara.
Mereka pun menyebut nama-nama seperti Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.
Malaysia pernah ‘berPerdana Menterikan the Tun’, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Dr. Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.
Dalam kitaran giliran Perdana Menteri UMNO ini, Mahathir sekali lagi muncul sebagai Perdana Menteri, iaitu PM ketujuh. Ertinya, ada enam nama yang ditakdirkan menjadi nakhoda Malaysia.
Malaysia telah ditakdirkan menemui Mahathir sebanyak dua kali sebagai nakhodanya dengan jumlah tempoh pelayaran selama 22 tahun + 22 bulan.
Jika kita ikuti sok seknya rumah politik kita, Mahathir hendak pegang stereng Malaysia sekali lagi – untuk kali ketiga, katanya tak lama, cuma enam bulan sahaja.
Oleh kerana Malaysia sudah kerap pilih Mahathir sebagai Perdana Menteri, maka semua orang-orang lama wajar sahaja ‘tutup buku’ berangan-angan.
Begitulah kira-kira bunyi hujah school of thought Malaysia perlukan nakhoda baharu, bukan lagi muka-muka lama.
Oleh kerana seorang Mahathir mahu jadi PM berulang-ulang kali, siapa sahaja yang pernah berurusan dengannya juga tidak layak jadi Perdana Menteri. Begitu?
Malaysia sudah 63 tahun merdeka. Dalam tempoh tersebut, Mahathir menjadi PM sebanyak dua kali dan memimpin selama kurang lebih 24 tahun iaitu kira-kira 38 peratus tempoh Malaysia merdeka.
Bagi mereka yang lahir semasa merdeka, mereka sekarang berumur 63 tahun. Dalam tempoh tersebut nasib, hidup dan kehidupan mereka telah ditentukan oleh seorang Mahathir. Mereka tentu lebih arif, mereka hanya kenal seorang PM.
Saya dari kelompok siri 70an boleh dikatakan bernasib baik kerana dapat rasa juga sentuhan PM-PM bukan-Mahathir.
Sebelum mati saya ingin juga rasa sentuhan seorang pemimpin yang berani berkata dan bertindak benar. Pemimpin begini bukan selalu kita temui? – MalaysiaGazette

Penulis, KASSIM MUHAMAD adalah aktivis politik yang juga Timbalan Presiden Paksi
Perosak Parti adalah golongan Vateran yang tidak mahu berenti, sebagaimana golongan veteran telah menjatuhkan Pak Lah dan Najib mahupun UMNO apabila golongan ini mengunakan TUN M untuk campur tangan dalam parti.