Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Wan Saiful Wan Jan (tengah) bersama pengerusi-pengerusi perumahan pada Majlis Penyampaian Sumbangan CSR PTPTN Kepada Persatuan-Persatuan Penduduk PDRM Parlimen Setiawangsa di Perumahan PDRM Menara Seri Kemboja, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meluaskan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi pemberian bantuan kepada anak-anak anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bantuan sebanyak RM15,000 yang disampaikan kepada Persatuan Penduduk Perumahan PDRM di Setiawangsa malam tadi itu membawa makna yang besar kepada Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan kerana beliau juga merupakan anak kepada anggota pasukan keselamatan itu.

Wan Saiful ketika menyampaikan ucapan di Menara Sri Kemboja berkata, bantuan ini membuktikan keprihatinan PTPTN terhadap pelbagai golongan dan lapisan masyarakat khususnya mereka yang amat memerlukan.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Wan Saiful Wan Jan (tengah) diiringi Pengerusi Persatuan Perumahan PDRM Menara Sri Kemboja, Nordin Razak (kiri) pada Majlis Penyampaian Sumbangan CSR PTPTN Kepada Persatuan-Persatuan Penduduk PDRM Parlimen Setiawangsa , Kula Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2021.

Katanya, PTPTN tidak menghadkan peranannya sebagai entiti yang menyediakan kemudahan pembiayaan pendidikan semata-mata, sebaliknya badan itu turut prihatin dengan keperluan masyarakat.

Beliau mahu bantuan kepada anak anggota polis menjadi pembuka jalan untuk lebih banyak program diadakan bersama PDRM seterusnya memberi  pendedahan tentang skim-skim yang disediakan PTPTN termasuklah Geran Sepadan SSPN-i.

“Sebenarnya kita ada beberapa program yang kita susun dengan PDRM, saya minta kalau boleh kita mulakan dengan perjumpaan program bersama anggota PDRM.

“Niat kita memastikan semua tempat, semua orang tahu tentang SSPN dan kenal PTPTN dengan cara sebetulnya. Usaha yang kita buat jauh lebih banyak dan baik daripada hanya memberi pinjaman,” katanya.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Wan Saiful Wan Jan (kiri) bersama Pengerusi Persatuan Perumahan PDRM Menara Sri Kemboja, Nordin Razak  pada Majlis Penyampaian Sumbangan CSR PTPTN Kepada Persatuan-Persatuan Penduduk PDRM Parlimen Setiawangsa di Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2021.

Menurut Wan Saiful, PTPTN sangat menghargai tugas dan tanggungjawab berat anggota polis sebagai barisan hadapan dalam menjaga keselamatan negara dan mengekang COVID-19.

Justeru, beliau berharap agar sumbangan PTPTN akan dapat mengurangkan beban warga polis dalam membuat persediaan bagi anak-anak melangkah ke sesi persekolahan tidak lama lagi.- MalaysiaGazette