Ismail Raji Al-Faruqi

Islamisasi Ilmu (Islamization of Knowledge/IoK) adalah satu proses pengislaman keseluruhan korpus ilmu yang wujud. IoK bukanlah satu bentuk ideologi tetapi ia lebih mirip kepada gerakan ideologikal di mana ia meningkatkan kesedaran pendidikan ke atas intelektual Muslim untuk mengambil bahagian di dalam proses Islamisasi ini.

Terdapat banyak sosok intelektual yang memulakan gerakan Islamisasi ini seperti Ismail Raji Al-Faruqi, Syed Hossain Nasr, Syed Naquib Al-Attas dan ramai lagi. IoK ini secara teorinya adalah proses pengislaman ilmu yang dikhuatiri telah tercemar dan mengandungi intipati yang tidak selari dengan konsep Islam itu.

Penekanan yang diberikan adalah ilmu itu sendiri dan bukan Islam kerana Islam itu berdiri sebagai satu agama dan cara hidup yang bersifat sejagat yang merangkumi segala bentuk ciptaan Maha Esa dan tidak perlu diperdebatkan mengenai posisi Islam itu. Permasalahan yang berbangkit pada hari ini adalah mengenai kewujudan ilmu yang dilihat dari lensa yang tertentu. Oleh itu, ia tidak dapat dielakkan terutama sekali usaha untuk memprojekkan satu imej ilmu yang ditapis dan disusuli dengan pendekatan dan pengkaedahan yang lebih rapi.

Disebabkan permasalahan ilmu pada hari ini yang telah bercampur-gaul dengan pelbagai anasir yang meragukan dan oleh itu ia perlulah melalui proses Islamisasi yang setara dengan ajaran Quran dan Sunnah. Intipati ilmu kontemporari perlulah dibaluti dengan cahaya keislaman. Selain itu, IoK melibatkan banyak proses bertujuan untuk mencerap ilmu-ilmu tertentu, untuk mencapai
kefahaman sepenuhnya ke atas seluruh korpus ilmu, untuk menganalisis ilmu melalui metodologi yang tertentu dan juga untuk membentuk semula perjalanan ilmu yang sejajar dengan kehendak Allah SWT.

Untuk menilai semula keperluan mengadaptasi IoK ini, oleh itu, adalah mustahak untuk melengkapkan kesemuanya yang diertikan sebagai teras dan prinsip nilai-nilai Islam. Pertama ialah Tauhid di mana ia merujuk kepada keesaan Allah SWT dan tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah sahaja. Kewujudan Allah sebagai Tuhan mengatasi kewujudan ciptaan yang lain. Tawhid juga adalah satu bentuk disiplin yang diterjemahkan secara langsung sebagai pengiktirafan realiti, dipinjamkan dari karya Al-Attas, di mana hanya Tuhan sekalian alam berhak sepenuhnya ke atas segala entiti di muka bumi ini. Konsep ‘kekuasaan’ kekal semata-mata di atas tangan Allah SWT. Kejadian alam manusia kekal sebagai ‘subjek’ utama yang akan merasai implikasi kekuasaan Pencipta segala alam. Tauhid juga adalah satu prinsip fundamental di mana ianya perlu disebatikan dengan mana-mana pengajian kefalsafahan.

Kepercayaan kepada Tuhan adalah sebahagian daripada iman seseorang itu dan iman perlu dibentuk melalui kepercayaan yang tidak berbelah-bahagi dan elemen-elemen ketuanan di dalam ruang lingkup kemanusiaan perlu lah dinyahkan dengan kadar obligasi yang nyata. Al-Faruqi berpendapat bahawa tidak wujud perbezaan di antara iman dan ilmu dan baginya iman adalah satu kategori kognitif.

Di dalam Sains Politik Islam, tauhid dilazimi dan diposisikan sebagai mercu puncak tertinggi yang membentuk disiplin sains sosial tersebut. Dalam erti kata lain, kekuasaan Tuhan membatasi kuasa politik insan.

Kedua ialah ‘keadilan’. Keadilan itu mesti dipenuhi dan diawasi oleh setiap Muslim yang mempraktikkan amalan-amalan yang mengesakan Tuhan. Mereka perlulah berlaku adil kepada Tuhan mereka, berlaku adil kepada alam sekeliling mereka, dan berlaku adil kepada diri mereka sendiri. Seorang Muslim yang baik dibentuk oleh karakter yang bersifat adil. Mereka yang tidak
berlaku adil kepada Tuhan mereka seolah-olah seperti tidak mengiktiraf campur tangan ketuhanan ke atas alam yang dibina dan diberikan ruang untuk bernafas secukupnya.

Ketiga adalah ‘ilmu’. Ilmu adalah sebahagian daripada nilai dan prinsip. Adalah satu kewajipan untuk setiap Muslim yang mempunyai pertimbangan moral yang sekukuhnya untuk jadikan ia sebagai panduan hidup. Ilmu memiliki dua jenis klasifikasi: ilmu yang diwahyukan sebagai ilmu yang tertinggi dan ilmu sains di mana ia diperolehi melalui pengalaman dan pemerhatian
empirikal.

Keempat adalah ‘khilafah’. Khilafah merujuk kepada bidang kuasa kewilayahan. Allah melantik wakil-wakil di muka bumi ini dengan harapan mereka dapat menguruskan kehidupan seharian mereka dengan teratur dan juga menegakkan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan ke atas mereka. Al-Faruqi berhujah bahawa kuasa kolonial memberikan impak yang sangat dahsyat
sehinggakan sebilangan besar orang Islam cenderung untuk memusuhi antara satu sama lain akibat dari ketetapan dasar kolonial yang menanamkan sikap ketidakakuran yang membawa kepada perpecahan ummah yang ketara diselubungi dengan acuan kejuruteraan sosial yangdiidamkan oleh kuasa kolonial.

Di dalam magnum opus Islamisasi yang dipersembahkan oleh Al-Faruqi, beliau memulakan perbahasan awal dengan nomenklatur ‘politik’. Konsep khilafah di sini sangat dipengaruhi oleh prestasi politik dan politik juga mencorakkan hubungan pelbagai
hala dan integrasi sosial sesama manusia.

Ismail Raji Al-Faruqi: Kerangka Pemikiran Ismail Raji Al-Faruqi dilahirkan pada 1921 di dalam sebuah keluarga yang berpengaruh di Palestin semasa Mandat British dan beliau adalah sarjana yang dikenali ramai pada abad ke-21, secara khususnya sarjana yang menjuarai projek Islamisasi. Pada zaman dahulu, sewaktu beliau mendapat pendidikan di bawah sistem Barat, Al-Faruqi melihat bahawa perlunya satu daya yang kritikal untuk menyelesaikan masalah ummah dan ini boleh direalisasikan melalui kaedah IoK.

Menurut Al-Faruqi, IoK bertujuan untuk membentuk keseluruhan ilmu dengan meletakkan ia satu-persatu, dan untuk menapis ilmu tersebut dan diselimuti dengan cahaya keislaman. Al-Faruqi mencadangkan beberapa prinsip metodologi Islam di mana prinsip tersebut mesti dibawa bersama dengan proses Islamisasi secara khususnya. Metodologi Islam tersebut adalah:
1)Keesaan Allah SWT
2) Keseragaman Ciptaan
3) Keseragaman Kebenaran
4) Keseragaman Keilmuan dan
5) Keseragaman Kehidupan

Al-Faruqi memfokuskan pemikirannya terhadap kelima-lima metodologi tersebut dan mengadunnya bersama-sama dengan semangat Islamisasi ilmu. Semua ciptaan mestilah disatukan di bawah banting pencipta yang Maha Esa. Ilmu moden perlulah disemai dengan kerangka ilmu Islam dan fokus terhadap penyemaian berikut adalah berpaksikan kepada ilmu sains kemanusiaan. Sebagai satu disiplin sosial, sains kemanusiaan adalah ilmu di mana sebahagian besarnya diusung dan diolah dari perspektif Barat. Oleh itu, golongan intelektual Muslim perlu menghembuskan nafas Islam terhadap ilmu tersebut terutama sekali sains kemanusiaan.

Oleh yang demikian, Al-Faruqi mencadangkan 12 jenis langkah utama untuk membantu memahami Islamisasi ilmu itu dengan lebih berkesan. Langkah-langkah tersebut adalah:

1) Penguasaan Ilmu Moden
2) Disiplin Pemerhatian
3) Antologi
4) Analisis
5) Menghasilkan Kerelevenan Islam
6) Penilaian Kritikal Terhadap Islam Moden
7) Penilaian Kritikal Terhadap Legasi Islam
8) Pemerhatian Terhadap Permasalahan Ummah
9) Pemerhatian Terhadap Masalah Umat Manusia
10) Analisa Kritikal dan Sintesis
11) Menghasilkan Buku Teks di Universiti
12) Menyebarkan Ilmu Yang Diislamisasikan

Prinsip-prinsip berikut dilihat mampu untuk memberikan kesan yang efektif terhadap permasalahan besar yang berlegar merentasi ruang keilmuan. Pada sesetengah, ia mungkin diertikan sebagai risalah yang mementingkan peraturan di dalam usaha untuk memulakan gerakan Islamisasi. Oleh itu, tidak wujud sebarang kemungkinan bahawa kerangka Al-Faruqi akan berakhir di dalam konteks ‘membaratkan’ Islam.

Seperti yang dihujahkan, sebagai seorang ahli teori Islam, Al-Faruqi menggabungkan kesemua penyiasatan metodologi untuk
menghasilkan satu solusi yang mampan, jikalau mungkin, sekali untuk semua. Kerangka yang diketengahkan oleh Al-Faruqi bersifat terperinci di dalam segala aspek keilmuan tetapi terdapat juga beberapa perkara yang menjurus kepada komen-komen yang membina untuk memastikan perihal boleh dipercayai ke atas metodologi tersebut. Seperti contoh, kerangka kerja Al-Faruqi telah dikritik secara khusus dan ilmiah yang melibatkan pengoperasian metodologi itu yang berunsurkan kesamaran dan tambahan pula kerangka tersebut dilihat agak susah untuk difahami berkenaan dengan carta aliran yang melibatkan kesemua 12 langkah tersebut.

Cadangan penambahbaikan untuk kerangka kerja tersebut perlu diatur bertepatan dengan hujah dan pemahaman akademik kerana kerangka tersebut mengandungi beberapa langkah yang difikirkan agak sukar untuk diikuti satu persatu. Kesimpulannya, legasi Islamisasi ilmu Al-Faruqi perlu diselidiki dengan seadilnya agar kerangka kerja yang dicadangkan itu akan memberikan impak
kefalsafahan yang positif seperti pelaksanaan pembetulan terhadap ilmu yang tercemar akan diadaptasi sebaik mungkin oleh generasi akan datang.

Oleh: Dr. Ariff Aizuddin Azlan
Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains
Pentadbiran dan Pengajian Polisi di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Seremban, Negeri Sembilan