Ameer Ali Mydin ketika merasmikan pembukaan cawangaannya di Jengka, Pahang.

KUALA LUMPUR – Pasar raya Mydin komited untuk menjadi platform kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka kepada pengguna.

Komitmen itu selari dengan hasrat kerajaan yang menggalakkan pembelian barangan tempatan bagi merancakkan ekonomi setempat dan domestik ketika pemulihan ekonomi akibat Covid-19.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin, pembukaan cawangan pasar raya besar baharu ke-27 di Jengka, Pahang, antara inisiatif yang diusahakannya.

Menurutnya, pembukaan pasar raya itu memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk dan menjadi pembekal kepada rangkaian Mydin di seluruh negara.

“Kita juga jalin kerjasama dengan Felda bagi memastikan usahawan Felda di Jengka juga menerima manfaat pembukaan cawangan baharu ini.

”Selain berpeluang memasarkan produk, terdapat juga dalam kalangan mereka telah dikenalpasti untuk dilantik menjadi pembekal.

“Pihak Mydin sangat mengalu-alukan masyarakat setempat memperolehi pekerjaan di sini dan membuka kedai tersendiri (menyewa kedai) untuk memeriahkan lagi suasana Mydin Jengka”, katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Dengan pembukaan cawangan itu, penduduk sekitar berpeluang mendapatkan keperluan harian mahupun barangan perniagaan mereka secara borong dengan harga murah.

Pembukaan cawangan baharu ini menawarkan lebih 400 peluang pekerjaan.

“Walaupun berdepan dengan situasi ketidaktentuan ekonomi semasa, Mydin yakin dengan langkah berani membuka cawangan ini adalah sebagai usaha menjadikan Mydin terus berdaya saing dan kompetitif,” katanya. – MalaysiaGazette