JAKARTA – Pesawat komersial Sriwijaya Air yang terputus hubungan selepas berlepas dari ibu kota Jakarta menuju ke Pontianak, disahkan terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta, hari ini.
Menteri Perhubungan Indonesia, Budi Karya Sumadi dalam siaran media menerusi webinar malam ini, berkata pesawat itu dipercayai terhempas di sekitar Pulau Laki dan Pulau Lancang, di kawasan perairan Kepulauan Seribu.
Beliau berkata, pelbagai agensi mencari dan menyelamat seperti Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) dan Tentera Indonesia, sedang melakukan pencarian di perairan itu.
Sementara itu Deputi Operasi dan Kesiapsiagaan BASARNAS, Bambang Suryo Aji berkata, tumpuan pencarian kini adalah bagi mengesan titik koordinat jatuhnya pesawat itu.
Pesawat jenis Boeing 737-500 yang membawa 62 penumpang dan anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta,jam 2.36 petang waktu Indonesia Barat.
Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan udara adalah pada jam 2.40 petang waktu Indonesia Timur.
Pesawat itu dijadualkan tiba di Pontianak, jam 3.15 jam waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat). – MalaysiaGazette