Laporan STFC Selangor menunjukkan kes Covid-19 harian meningkat di negeri itu.

KUALA LUMPUR – Hampir separuh mukim di Selangor telah dikategorikan zon merah Covid-19 sepanjang tempoh dua minggu dari 26 Disember lalu sehingga semalam.

Menurut laporan harian STFC Selangor, setakat ini pihaknya merekodkan sebanyak 22 daripada 54 mukim di negeri yang dikategorikan zon merah dan berada dalam keadaan membimbangkan.

Hulu Langat merupakan zon berbahaya paling banyak dengan lima mukim meliputi Ampang, Cheras, Hulu Langat, Kajang dan Semenyih.

Empat mukim di Gombak ialah Batu, Hulu Kelang, Rawang dan Setapak, manakala di Petaling pula meliputi Bukit Raja, Damansara, Petaling dan Sungai Buloh.

Sebanyak tiga mukim zon merah di Kuala Selangor iaitu Ijok, Jeram dan Tanjung Karang, sementara dua kawasan berstatus merah di Klang dan Kuala Langat merangkumi Kapar, Klang, Tanjung 12 dan Teluk Panglima Garang.

Sepang dan Hulu Selangor masing-masing merekodkan satu mukim zon merah iaitu di Dengkil dan Serendah.

“Semalam juga, kes baharu Covid-19 di Selangor meningkat kepada empat digit dengan 1,086 dengan 1,084 kes jangkitan tempatan menjadikan keseluruhan kes sebanyak 38,433,” katanya menerusi Facebook STFC Selangor. – MalaysiaGazette