KUALA LUMPUR – Tindakan seorang kanak-kanak perempuan di Setia Alam dekat sini yang berbasikal ke rumah neneknya di Klang kerana didera ibu bapanya tular dalam media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, hasil semakan polis mendapati kanak-kanak berkenaan seorang warga tempatan berumur sembilan tahun.
“Kanak-kanak itu membawa beg pakaian dengan menaiki basikal berwarna pink dijumpai oleh polis bantuan SP Setia sekitar jam 4 petang semalam.
“Dia seterusnya dibawa ke Balai Polis Setia Alam untuk tindakan lanjut pukul jam 6 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ramsay, siasatan lanjut mendapati tiada kesan penderaan pada tubuh badan kanak-kanak berkenaan yang dijumpai anggota dan pegawainya.
Tambah beliau, ibu bapa mangsa kemudiannya hadir ke balai polis Setia Alam selepas itu untuk mengambilnya anak mereka.
“Ibu bapa mangsa juga akan membuat laporan polis berkaitan video yang tular tersebut dan akan dirakam percakapan. Individu-individu yang membuat rakaman juga akan dipanggil untuk membantu siasatan pihak polis,” katanya lagi.
Dalam video tular itu kanak-kanak itu berbaju kemeja T biru gelap dan seluar hitam ditemui orang awam dalam keadaan penat kerana menunggang basikal dengan wajah yang sedih.
Kanak-kanak itu dikatakan dalam perjalanan ke rumah neneknya di Batu Belah, Klang keran didakwa didera ibunya.
Orang awam berkenaan juga telah membawa kanak-kanak ke sebuah restoran makanan segera berhampiran dan membelikan makanan untuknya.- MalaysiaGazette