KUALA LUMPUR – Banjir di beberapa kawasan di Pahang termasuk Temerloh dan Mentakab kini semakin surut dan jalan masuk ke sana kini sudah boleh dilalui termasuk melalui lebuh raya.
Bagaimanapun masih ada mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana air di rumah masing-masing belum surut sepenuhnya.
Ada juga kediaman yang masih berselerak dan dipenuhi lumpur walaupun air sudah surut namun masih belum sesuai untuk berpindah.
Menurut Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Buntut Pulau, Burhanuddin Moh Arif, mangsa-mangsa banjir kini lebih memerlukan bantuan pasca banjir seperti keperluan untuk memasak seperti cerek elektrik, dapur gas dan periuk.
“Alhamdulillah, bantuan makanan seperti beras dan lain-lain sudah mencukupi dan banyak stok memandang bantuan tidak putus-putus yang datang ke Temerloh dan kawasan sekitar.
“Cuma mangsa banjir memerlukan bantuan peralatan dapur memandangkan rumah mereka yang ditenggelami air dan peralatan dapur sedia ada semuanya musnah,” ujarnya kepada MalaysiaGazette semalam.
Menurut Burhanuddin, mangsa-mangsa banjir juga memerlukan tikar, toto dan selimut memandangkan ia juga rosak disebabkan banjir.
“Ada mangsa banjir sudah lima hari di PPS baru dapat selimut dan kubikal (khemah) belum diterima dari agensi kerajaan,” katanya.
Selain itu, katanya, bekalan makanan basah seperti ikan, ayam dan daging juga diperlukan memandangkan mangsa sudah lebih seminggu sukar mendapatkannya di PPS.
Pagi ini difahamkan paras air banjir di Jalan Temerloh-Triang (KM 87.5) semakin surut dari kedalaman air setinggi tujuh kaki kini sudah empat kaki.
Antara barangan dan keperluan kepada mangsa banjir selepas air surut ialah bantuan khidmat sukarelawan untuk mencuci rumah yang berlumpur dan sampah hanyut.
Selain itu, tikar plastik untuk alas di dalam rumah apabila mangsa banjir pulang ke rumah dari PPS dan tilam, cadar, bantal, selimut dan tuala mandi.
Rata-rata mereka juga memerlukan bahan cuci seperti sabun dan peralatan mencuci seperti mop, berus, penyapu dan jet air bagi membersihkan rumah.- MalaysiaGazette