Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Pelantikan tidak semberono Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan seorang pemimpin UMNO boleh mencetuskan kemelut lebih besar parti itu.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil ketika memberi peringatan itu berkata, pelantikan tersebut jika tidak kena kaedahnya akan memecahbelahkan UMNO dari dalam.

“Saya mendengar ura-ura Perdana Menteri akan melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari UMNO dalam usahanya untuk menyelamatkan hubungan partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan UMNO.

“Seperti saya nyatakan beberapa bulan lalu, jika pelantikan ini dibuat semberono, tidak kena calonnya, ia akan mencetuskan kemelut dalam UMNO dan memecahbelahkan UMNO dari dalam.

“Mungkin ini yang Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu, iaitu menyelamatkan Bersatu dengan membeli sedikit masa bernafas dan pada masa sama menghuru-harakan serta melemahkan UMNO,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas khabar angin yang bertiup kencang ketika ini bahawa Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi melengkapkan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Walaupun pelantikan jawatan nombor dua negara itu tidak ada dalam Perlembagaan, tetapi secara tradisinya sejak merdeka lagi, kerajaan yang memerintah mempunyai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Isham, calon yang disebut-sebutkan itu tentunya tidak akan dipersetujui oleh akar umbi dan pemimpin UMNO kerana dilihat lebih cenderung menyebelahi Muhyiddin dan Bersatu.

“Sebaliknya, calon yang akar umbi dan pemimpin UMNO mahu besar kemungkinan tidak akan diterima oleh Muhyiddin serta Bersatu.

“Bersatu tidak lagi boleh ‘membeli’ UMNO dan UMNO tidak akan menjual diri,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kedua-dua parti boleh bersetuju dengan satu nama, jawatan itu hanya bersifat sementara selama beberapa bulan sahaja.

“Sebab, dengan majoriti yang tipis atau tiada majoriti dalam Parlimen, kemelut politik tentunya akan berlaku lagi dalam sedikit masa sehingga Parlimen dibubar.

“UMNO tentunya perlu korbankan pelbagai perkara kepada Muhyiddin menjelang Pilihan Raya Umum ke-15(PRU 15) sebagai timbal balas.

“Buat apa terima satu jawatan timbalan untuk beberapa bulan, tetapi korbankan perjuangan dan maruah parti kepada Bersatu?,” soal beliau.

Menurut beliau, akar umbi dan pucuk pimpinan UMNO dapat membaca perkara itu, malah langkah berkenaan sudah terlambat dan tidak lagi dapat memujuk parti itu untuk menyelamatkan Bersatu.

Beliau berkata, Perdana Menteri tidak ada banyak pilihan sekarang, selain meletakkan jawatan kerana beliau dilihat hanya fokus berpolitik untuk menyelamatkan diri, namun keadaan ekonomi dan penularan wabak Covid-19 semakin hari semakin buruk.

Mereka ujarnya, gagal mengekang kenaikan penularan Covid-19 dan gagal mengendalikan ekonomi ketika krisis.

Isham menjelaskan, daripada membuat perkara terdesak yang memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan rakyat marah, beliau sepatutnya melakukan perkara yang diminta oleh rakyat.

“Antaranya, memudahkan pengeluaran akaun 1 KWSP tanpa pelbagai syarat yang menekan, melanjutkan moratorium pinjaman bank sehingga enam bulan lagi atau sehingga keadaan ekonomi dan Covid-19 beransur pulih serta rakyat kembali mendapat kerja atau boleh berniaga seperti sebelum ini.

“Mempercepatkan penyampaian vaksin kepada rakyat supaya penularan virus dapat dikekang dan mempercepatkan bantuan banjir kepada rakyat, bukan sibuk berpolitik untuk mengekalkan kuasa, tetapi kepentingan rakyat tidak dijaga.

“Rakyat memerhati tindak tanduk anda ketika berkuasa dan rakyat juga boleh menggantikan anda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. UMNO perlu lebih bersatu, dan lebih fokus kepada Muafakat Nasional. Kalau perkara ini dapat dikekalkan, diharmonikan insyaAllah UMNO dan PAS akan mendapat lebih banyak kerusi2 parlimen dalam PRU15 nanti.

    Pilihanraya2 kecil yang lalu telah membuktikannya.

  2. Persoalan pada MP2 umNO yang berhajat sangat tarik diri @ tolak P N DAN sibuk MENDESAK utk PRU masa COVID dn BANJIR…BERANI ke LETAK JAWATAN MP masing2 dn BUAT PRK di kawasan masing2 tanpa tunggu PRU 15 kerana sikap tamak haloba gila kuasa diri sendiri tetapi berhelah utk demi rakyat???khalid nordin fuad zakarshi nur jazlan dn ramai lagi boleh bertanding

  3. Kalau betul UMNO kuat, sepatutnya lepas Tok Mat menang jadi Timbalan UMNO korang dah korban kan 1 kerusi Parlimen untuk dia bertanding parlimen seperti PKR yang sangup bagi kerusi parlimen PD pada Anwar walaupun Anwar bukan orang negeri 9. Itu beza parti yang bersatupadu dengan parti yang semua nak jadi lord.

Comments are closed.