JAKARTA – Pasukan penyelam Indonesia akan berusaha mendapatkan semula perakam data pesawat Sriwijaya Air yang terhempas ke laut dua hari lalu.
Ketika nahas pesawat berkenaan membawa 62 orang penumpang.
Ia terhempas beberapa minit setelah berlepas dari lapangan terbang utama Jakarta ke Pontianak di pulau Borneo, sekitar 740 km (460 batu) dari ibu negara Indonesia, sebelum ia hilang dari radar empat minit setelah berlepas.
Pihak berkuasa memaklumkan telah mengenal pasti kawasan penemuan kotak hitam ketika mereka mengangkat serpihan pesawat Boeing 737-500 dari dasar laut.
Penyelamat juga telah menemui bahagian tubuh manusia dan barang-barang peribadi penumpang.
Salah seorang penyelam tentera laut di kapal penyelamat mengatakan pencarian akan disambung pada hari Isnin.
‘Kami dapat memperincikan kawasan pencarian hari ini hingga 200 hingga 500 meter dari titik lokasi,” katanya kepada saluran TV Kompas.
Menurutnya, pada hari pertama, pasukan mencari telah menjelajah 1.5 kilometer hingga 1 kilometer (dari koordinat utama).
”Sekarang, kami akan melihat kawasan luar,” tambahnya.
Nurcahyo Utomo, seorang penyiasat di Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) Indonesia, mengatakan pihak berkuasa berharap dapat menemukan kotak hitam hari ini.
Katanya, pesawat berkenaan dalam keadaan utuh sebelum menghentam air, memandangkan serpihan yang ditemui setakat ini tersebar di kawasan berhampiran antara satu sama lain.
Salah satu turbin pesawat telah dijumpai dan dihantar ke sebuah pelabuhan di Jakarta semalam.
Kejadian itu adalah nahas udara pertama yang besar di Indonesia sejak 189 penumpang dan anak kapal terbunuh pada tahun 2018 membabitkan pesawat Boeing 737 Max milik Lion Air.
Pesawat malang itu terhempas ke Laut Jawa sejurus lepas landas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Ketika nahas, pesawat malang itu membawa 12 kru dan 50 penumpang termasuk 10 orang kanak-kanak. – MalaysiaGazette