Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menyaksikan pertukaran dokumen antara Presiden RMHC Malaysia, Azmir Jaafar (kanan) dengan Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr. Shamsul Anuar Kamarudin (kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Penubuhan Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah di McDonald's Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2021.

PUTRAJAYA – Langkah terbaharu yang akan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mampu untuk menurunkan trend peningkatan mendadak kes harian positif Covid-19.

Itu keyakinan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

“Dengan langkah terkini, malam ini Perdana Menteri akan mengumumkan satu langkah yang sangat perlu untuk kita kawal wabak Covid-19.

“Tentu sekali kita boleh melihat penurunan jumlah kes sekiranya langkah-langkah dilaksanakan itu bertepatan dan kita perlu sokongan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Penubuhan Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

Hadir sama Presiden RMHC Malaysia selaku Pengarah Urusan dan Rakan Operasi McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar dan Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr Shamsul Anuar Kamarudin.

Dalam pada itu, Adham menegaskan, kementeriannya memberi jaminan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) sedia ada masih mampu menampung jumpa pesakit Covid-19 ketika ini.

Menurutnya, walaupun kes jangkitan dijangka mencecah sehingga 5,000 sehari dan 8,000 sehari mulai Mac ini, kedua-dua fasiliti itu mampu menerima dan merawat pesakit Covid-19.

“Kita sentiasa mempersiapkan semua item yang perlu untuk hospital seperti katil, wad perubatan, ICU dan ventilator.

“Yang paling penting sumber manusia, untuk itu kita sentiasa memastikan kita mempunyai petugas yang cukup setiap masa dan juga.

“Tempat-tempat ini (PKRC MAEPS Serdang) sebenarnya bersedia menerima pesakit-pesakit Covid-19 yang berisiko rendah iaitu level 1 dan level 2,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, jelas Adham, bagi pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi, mereka akan dimasukkan ke hospital kerajaan bagi mendapat rawatan lanjut.

Bagi tujuan itu  pihaknya sedang bekerjasama dengan hospital-hospital swasta bagi membantu  memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 secara serius.

“Bagi level Covid 3, 4 dan 5, kita masukkan mereka ke hospital KKM dan kita juga sedang mempersiapkan supaya hospital swasta juga main peranan untuk merawat kes Covid-19 pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.