Penyokong Pas memegang banting bantahan selepas menyerahkan memorandum daripada ahli dan akar umbi serta penyokong PAS kepada Kepimpinan Pas Pusat berkaitan hubungan politik dengan Bersatu di Hadapan Pintu Utama, Pejabat PAS Pusat, Kuala Lumpur. Gambar hiasan

NAMPAKNYA dunia politik makin berserabut dengan beberapa insiden terbaru yang berlaku. Perbezaan pandangan, perselisihan dan perbezaan terus memberikan warna kepada rupa paras politik kita. Perkara yang sama juga berlaku kepada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam sebenarnya. Cuma mungkin kerana ia tidak membawa impak kuasa, maka ianya tidak begitu mendapat liputan dan perhatian ramai.

Pada saya bukanlah aib jika ahli politik atau aktivis Melayu Islam kita berselisih pandangan. Lumrahnya begitulah. Semua orang akan ada sudut pandang yang berbeza, atau maslahah yang berbeza, menjadikan akan ada sahaja perbezaan di antara seorang dengan seorang yang lain. Sejarah kerajaan-kerajaan Islam dahulu pun begitu juga. Walaupun wujud beberapa fasa dalam sejarah yang menunjukkan disiplin tinggi umat Islam yang menyimpan pandangan peribadi dan tunduk kepada satu pandangan sahaja, tetapi di kebanyakan fasa dalam sejarah ia tidak berlaku begitu.

Kalau kita mengambil pengalaman Barat dan dunia luar Islam, perselisihan pandangan ini juga berlaku. Ada yang membawa kepada peperangan saudara, revolusi dan banyak lagi sejarah hitam yang berlaku di luar dunia Islam sebagaimana yang semua kita tahu. Tetapi apa yang menariknya, bila masuk ke dekad-dekat terakhir ini, mereka nampaknya seperti satu blok yang kuat dalam menghadapi Islam dan umatnya.

Perjuangan seseorang akan dilatari oleh banyak faktor; antara yang utama adalah ideologi atau maslahat (kepentingan). Antara keduanya, ideologilah yang lebih sepatutnya menjadi dasar perjuangan kerana ianya menggambarkan kehendak kepada keyakinan diri terhadap idealisme tertentu. Berjuang kerana maslahah, tidak akan membawa ke mana kerana maslahah itu sendiri bukanlah suatu yang tetap. Berubah maslahah, sekelip mata boleh berubah hala tuju perjuangan.

Kalaulah kita boleh belajar sesuatu dari Barat, belajarlah bagaimana mereka bertelagah dan akhirnya bersetuju untuk satu ideologi sahaja. Beberapa negara di Barat hanya ada dua atau beberapa parti sahaja. Tetapi masing-masing mendukung ideologi yang sama dan sepakat tidak membenarkan parti dengan ideologi lain (terutamanya Islam) untuk muncul bersaing merebut kuasa lalu merubah wajah negara.

Kalaulah kita boleh belajar dari Israel, belajarlah juga perkara yang sama ini. Mereka bertelagah, asak-mengasak antara parti dan badan, tetapi tidak ada satu pihak pun yang memberikan ruang kepada ideologi lain untuk muncul. Masing-masing mempertahankan ajaran Talmud mereka, mengabsahkan penjajahan ke atas Arab Muslim, meluaskan projek Israel Raya dan sebagainya. Adakah di sana ada ruang untuk umat Islam masuk mencelah mengambil kesempatan atas perselisihan sesama mereka? Mereka tidak akan benarkan itu berlaku.

Jika tidak mahu jauh, ambil dan belajarlah sesuatu juga dari politik orang Cina di Malaysia. Ada banyak parti serta badan dan kadang-kadang nampak bertelagah sesama mereka. Tetapi ideologi yang melatari parti-parti dan badan-badan Cina ini asasnya adalah satu. Dulu mereka bersama memperjuangkan pendidikan, budaya dan bahasa Cina. Sekarang lebih menakutkan bila masing-masing mula menunjukkan langkah masing-masing dalam menormalisasi perjuangan komunis. Di celah perselisihan sesama mereka, mereka tidak benarkan ruang untuk umat Islam masuk mencelah mengambil kesempatan.

Tetapi parti dan badan umat Islam akhir-akhir ini nampaknya tidak begitu kuat dari segi mendukung perjuangan ideologi. Bila masing-masing dua pihak dalam parti Melayu Islam yang sedang berselisih hari ini dikaitkan dengan idea menyokong parti yang membawa idea Malaysian Malaysia, itu adalah perkembangan yang membimbangkan.

Walaupun ketulenannya masih diragui, tetapi desas desusnya tetap membimbangkan. Kerana bukan sekali dalam sejarah negara kita di mana parti-parti dan badan-badan Melayu Islam mengadakan pakatan dengan badan bukan Islam yang membawa ideologi asing ini.

Umat Islam perlu menjadi umat pejuang ideologi Islam.

Kuat terpahatnya ideologi tersebut dalam jiwa dan pemikiran umat, itulah sebenarnya yang akan mewarnai perjuangan mereka hari-hari. Lalu seterusnya itulah yang akan mencorakkan rupa paras masyarakat dan negara serta menjadi asas kepada segala polisi dan dasar negara. Negara Islam yang kita harapkan tertubuh itu sendiri adalah negara ideologi yang tidak akan mampu dibangunkan oleh pejuang maslahat peribadi.

Sesama pemimpin Islam, akan sentiasa berlaku perbezaan pandangan dan perselisihan. Jika di zaman Rasulullah saw dan sahabat ra pun berlaku, apa faktor yang akan menjadikan ia tidak berlaku di zaman kita? Tetapi kenapa ketika generasi awal Islam berselisih, Islam masih lagi kuat dan tegak di atas? Perselisihan paling dahsyat dalam sejarah generasi awal Islam adalah yang berlaku di zaman pemerintahan Saidina Ali ra. Tetapi Islam tetap berdaulat di atas dan tidak ada ruang untuk campur tangan pihak asing menanam ideologi mereka di kalangan umat Islam.

Saidina Ali dan Saidina Muawiyah ra masing-masing mendukung agenda pengukuhan kuasa Islam. Mereka berselisih dan berkhilaf pada noktah apakah langkah yang akan mematikan gerakan musuh. Dalam objektif yang sama, mereka berbeza pandangan. Perselisihan dalam sangkar ideologi yang sama, tidak akan memberikan ruang untuk kemasukan anasir asing ke dalam umat Islam. Umat kekal berkuasa dan Islam kekal berdaulat.

Begitulah berlaku beberapa kali dalam sejarah Islam yang panjang. Saling berselisih dan saling jatuh menjatuh antara satu kerajaan dengan kerajaan yang lain. Di alam Arab – Afrika pun begitu. Di alam Melayu Islam juga begitu. Di bumi Andalus Eropah juga begitu. Dan musibah mula berlaku bila ada pihak dari kalangan umat Islam yang berselisih mula mencairkan ideologi perjuangan dan menerima kemasukan idea-idea dari ideologi yang asing.

Kejatuhan Baghdad dimulai dengan langkah sebahagian ulama yang menaikkan salib ke atas kubah masjid berpuluh tahun sebelum itu. Kejatuhan Andalus bermula dengan penerimaan perkongsian kuasa Islam-Kristian oleh sebahagian raja di bumi Andalus. Kejatuhan Melaka bermula bila ada umat Islam yang membocorkan rahsia pertahanan Melaka kepada Portugis.

Kalaulah kita semua; umat dan pemimpin dapat memberikan kesetiaan kepada idealisme perjuangan Islam kita, dan mengetepikan segala mashalat peribadi, sudah tentu tidak ada ruang untuk ideologi asing masuk bertapak dalam negara ini.

Berselisihlah tuan-tuan, tapi junjunglah Islam dalam setiap langkah. Jangan tunduk kepada maslahat peribadi lalu memberikan ruang kepada pihak luar untuk menentukan masa depan negara kita. Rupa paras negara mesti kekal Islam. Jangan beri ruang dalam perselisihan yang berlaku sesama kita untuk ideologi asing bertapak kukuh. Sekali kita tersilap langkah, nak berundur belum tentu berhasil.

 

OLEH: Muhammad Fauzi Asmuni (Timbalan Presiden ISMA)