KUALA LUMPUR – Seramai 50 orang anak di kawasan Bukit Bendera, Pulau Pinang menerima bantuan persekolahan dalam usaha mengurangkan beban keluarga mereka menerusi Program Kembali ke Sekolah.
Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Metamorphosis, Razalif Mohd Zain berkata, bantuan persekolahan berupa baju, kasut dan beg sekolah itu disumbangkan kepada setiap murid yang keluarga berpendapatan rendah.
Jelas beliau, sumbangan itu diharapkan dapat membantu mempertingkatkan minat murid untuk hadir semula ke sekolah serta pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Program ini diwujudkan bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak mereka.
“Kita harapkan sumbangan ini dapat membantu mempertingkatkan minat murid dan pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memperoleh keputusan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan haii ini.
Majlis penyerahan bantuan Program Kembali Ke Sekolah di kawasan Bukit Bendera itu berlangsung semalam.
Turut menerima bantuan adalah 50 penduduk Sabah yang tinggal di Pulau Pinang dan 13 kanak-kanak pengidap kanser
Razalif menambah, Yayasan Metamorphosis bukan hanya mahu menyumbang bantuan persekolahan namun membuktikan organisasi berkenaan sebagai sebuah entiti yang membantu meningkatkan tahap pendidikan negara.
“Bantuan ini membuktikan keprihatinan badan bukan berkeuntungan dalam menjalankan tanggungjawab memastikan semua lapisan masyarakat dapat mengecapi limpahan ekonomi dalam negara.
“Malah, ia sedikit sebanyak mempengaruhi peningkatan kecemerlangan murid terutamanya dalam membentuk sahsiah terpuji seperti termaktub di dalam aspirasi pendidikan negara,” katanya.
Menurutnya, program itu akan diteruskan dari masa semasa yang dikenal pasti bagi membantu keluarga serta murid kurang bernasib baik. – MalaysiaGazette