KUALA LUMPUR – Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-42 semalam, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsikan video istimewa ketika menjalani proses rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF) untuk kehamilan keduanya.
Video tersebut dimuat naik olehnya menerusi saluran YouTube miliknya.
Akui Siti, proses kali kedua itu agak mendebarkan memandangkan sudah beberapa kali gagal ketika menjalani proses tersebut.
Tambahnya, selepas suntikan tersebut dia perlu berehat di rumah selama 10 hari. Malah Siti juga perlu berhati-hati dalam setiap pergerakan termasuk solat dalam keadaan duduk.
“Tapi kali ini saya cuma makan beberapa ubat bagi persediaan untuk baby itu masuk dalam perut saya,” katanya.
Pada Disember lalu, segalanya terjawab apabila Siti sendiri mengesahkan bahawa dirinya sedang hamil anak kedua dan usia kandungannya kini sudah mencecah lima bulan.
Malah, Siti mendedahkan bahawa bayi keduanya itu sebenarnya merupakan kembar kepada anak sulungnya, Siti Aafiyah, namun embrio tersebut disimpan terlebih dahulu. – MalaysiaGazette