Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Penularan Covid-19 yang meruncing masa kini berpunca daripada pelbagai sebab yang mewajibkan kerajaan bertindak lebih awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang membahayakan.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, keadaan semasa yang meruncing dan belum terkawal memerlukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan tindakan luar biasa dengan memperkenalkan Proklamasi Darurat bagi menangani wabak ini sepenuhnya.

“Cadangan untuk mengisytiharkan darurat kesihatan telah dipersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Baginda telah melakukan budi bicara melalui musyawarah Majlis Raja-Raja pada peringkat awal.

“Lalu Baginda telah mengambil keputusan yang tidak gopoh dengan memberikan tempoh supaya pihak kerajaan mengambil peluang melaksanakan langkah penyelesaian tanpa darurat, sekiranya dapat diatasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan proklamasi darurat diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bukan suatu bentuk rampasan kuasa tentera atau penguatkuasaan perintah berkurung.

Tambah Muhyiddin, daripada segi pentadbiran kerajaan, jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri-negeri akan terus berfungsi mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Ujar Abdul Hadi lagi, Al-Sultan Abdullah telah menegaskan beberapa syarat dan pendekatan yang perlu diambil dalam proklamasi darurat itu.

Antaranya adalah larangan berpolitik dalam mengatasi penularan wabak membunuh ini.

“Ada kalangan mereka yang menganggapnya tidak berbahaya, sehingga dianggap masih boleh diatasi dengan teori-teori tanpa praktikal, seolah-olah tidak berada di planet bumi yang sedang diancam wabak.

“Fikiran mereka sudah sampai ke tahap tidak peka dengan bahaya yang mendatang dan tidak mempedulikan nasihat yang diberikan.

“Ada juga yang masih berpolitiking sepanjang masa dengan pelbagai alasan politik yang tidak matang dan sejahtera. Pada waktu yang gawat ini, mereka masih berbahas siapa yang layak menjadi Perdana Menteri, walaupun dalam keadaan mereka berpecah belah tidak mampu mengumpulkan jumlah yang mencukupi. Ada juga yang telah tenggelam bahteranya, tetapi masih berpaut,” katanya.

Justeru itu, Hadi berkata pelaksanaan proklamasi darurat dilihat boleh menyekat penukaran wabak Covid-19.

“Semua pihak perlu berhenti sekejap berpolitiking, walaupun masih ada yang tidak mahu mengaku kalah dengan apa sahaja tindakannya,” katanya lagi.

Malaysia mencatatkan kes jangkitan harian paling tinggi Covid-19 melebihi 3,000 kes dan dijangka melepasi unjuran 8,000 kes sehari sekiranya kadar kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Persidangan parlimen di era darurat kali ini.

    Tak boleh dinafikan peranan parlimen dlm negara demokrasi spt Msia.

    Namun begitu jika kita imbas kembali peristiwa2 dan cara perbahasan di parlimen kita dimutakir ini, yg penuh dgn jerit pekit, caci mencaci, kata mengata, tuduh menuduh dan sebagainya…..ada kah itu menyuburkan amalan sistem demokrasi berpalimen utk membolehkan suara rakyat disuarakan, didengar dan dibahas bagi faedah rakyat itu sendiri?

    Malah yang paling muak apabila majoriti ahli2 parlimen lebih banyak “berpolitik” dan memihak kpd masalah yg dihadapi individu2 tertentu dari menyuarakan masalah rakyat dan negara.

    Oleh kerana itu, sesuai dengan keadaan sekarang di mana negara menghadapi pelbagai masalah ekoran penularan wabak pendomik coved-19 dan kesan yang tertanggung oleh rakyar khususnya, maka adalah sesuai negara kita diletak dalam undang2 darurat serta persidangan parlimen ditiadakan dalam jangka waktu ini.

    Sekarang adalah masa utk “bekerja” bagi membantu rakyat yg terkesan serta memulihkan ekonomi negara secara bersungguh2.

    Ini dok asyik berpolitik yg tak berkesudahan – apa kebaikannya.

    Jika dibangkitkan implikasi perundangan mengenainya, biar lah mereka yg pakar menyelesaikannya dari menyerahkannya kpd ahli2 politik yang dilihat lebih kpd kepentingan diri semata2.

    Balas

Comments are closed.