Peniaga menjual batang tebu kepada penganut Hindu yang meraikan Hari Ponggal sebagai persiapan terakhir di Little India, Brickfields, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang masyarakat India di negara ini untuk menyambut Ponggal atau pesta menuai esok walaupun dalam keadaan norma baharu.

Tinjauan MalaysiaGazette malam ini di sekitar Little India, Brickfields antara lokasi tumpuan mendapatkan segala keperluan sambutan masih sesak seperti biasa namun semuanya mengikut semua garis panduan ditetapkan.

Rata-rata yang hadir mencari periuk tanah, senduk kayu dan tebu yang juga merupakan sebahagian daripada keperluan utama untuk menyambut perayaan itu.

Seorang penganut Hindu yang meraikan Hari Ponggal memilih periuk tanah liat sebagai persiapan terakhir di Little India, Brickfields, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2021.

Masing-masing lengkap memakai pelitup muka manakala pemilik kedai barangan pula meletakkan kod MySejahtera serta menyemak suhu badan sebelum masuk premis.

Sebahagian penganut Hindu yang meraikan Hari Ponggal memilih periuk tanah liat sebagai persiapan terakhir di Little India, Brickfields, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2021.

Malah mereka juga tidak dibenarkan bersesak-sesak sebaliknya perlu menunggu giliran masing-masing.

Orang ramai banyak membanjiri kedai yang menjual periuk tanah termasuk yang berwarna-warni, tebu, susu dan bunga juga bahan sembahyang lain.

Sambutan Ponggal disambut selama empat hari sebagai tanda berterima kasih kepada tuhan, matahari, bumi dan lembu yang membantu petani memperoleh hasil lumayan terutamanya di negara India.

Sebahagian penganut Hindu yang meraikan Hari Ponggal melakukan persiapan terakhir di Little India, Brickfields, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2021.

Ponggal juga merupakan perayaan paling panjang dalam kalendar Tamil malah ia sudah bermula hari ini dengan upacara Bhogi dengan membakar atau membuang barangan lusuh yang sudah lama dan tidak digunakan lagi, dan membersihkan rumah.

Secara simboliknya Bhogi bermaksud ‘membakar atau membuang’ amalan-amalan serta pemikiran negatif seseorang.

Esok, acara memasak nasi dengan susu serta gula perang menggunakan periuk tanah liat awal bagi memberi penghormatan kepada Dewa Matahari (Surya Bhagawan).

Menariknya, apabila nasi melimpah keluar dari periuk masing-masing akan melaungkan ‘Ponggalo Ponggal’ dengan begitu semangat dan penuh kepercayaan kebaikan akan melimpah ruah kelak.

Limpahan itu menandakan kebaikan dan kemakmuran untuk seluruh keluarga menurut tradisi yang sudah diamalkan sejak turun temurun.

Hari ketiga Ponggal dikenali sebagai ‘Mattu Ponggal’ yang didedikasikan untuk lembu yang dianggap haiwan penting serta suci dalam masyarakat India.

Lembu-lembu ini dimandikan, diletakkan kunyit pada tanduk selain kalungan bunga malai sebelum disembah kerana ‘jasa’ kepada golongan petani khasnya.

Ponggal terakhir pula Kanni Ponggal yang bermaksud anak dara, gadis-gadis ini digalakan untuk memasak nasi Ponggal di rumah atau kuil. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast