KUALA LUMPUR – Biarpun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 memberikan kelebihan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menangani penularan Covid-19, namun pelaksanaan itu dilihat tidak menyebelahi para peniaga.
Tinjauan MalaysiaGazette di Anjung Selera berhampiran pusat membeli belah terkemuka KLCC mendapati peniaga di sini rata-rata merungut dengan pelaksanaan PKP kali ini.
Bagi peniaga, Zaki Muslah, 34, pelaksanaan kali kedua PKP mendatang berita tidak gembira kepadanya.
Mana tidaknya, kehadiran pelanggan ke kedainya boleh dikira dengan jari dan berbeza dengan sehari sebelumnya.
“Sebelum PKP memang penuh tempat ini, nak dapat meja pun susah. Tapi datang PKP perniagaan agak perlahan.
“Memang terkesan sehingga 80 peratus pendapatan disebabkan oleh PKP.
“Orang ada datang beli makanan tapi tak seramai sebelum ini sebab ramai yang kerja kat rumah,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Nada sama diluahkan peniaga berusia 24 tahun, Muhammad Nur Salam Azahari.
Sebagai peniaga, beliau nyata terkesan dengan pelaksanaan PKP yang bermula tengah malam tadi.
“Saya rasa lebih 80 peratus perniagaan kami terkesan kerana PKP. Peratusan jualan harian kami turun kepada 80 peratus hingga 90 peratus. Itu yang dapat saya katakan hari ini.
“Walaupun kedai boleh dibuka tapi semua pekerja di sekitar ini cuti, bekerja dari rumah. Jadi yang datang sini adalah terdiri daripada bahagian operasi yang betul-betul perlu kerja baru datang.
“”Kami harap kerajaan dapat membantu kami sebagai peniaga dalam mencari rezeki kepada keluarga,” rintih Muhammad Nur Salam.
Menurut Saiful Hizam Mansor, perniagaan kedai makannya juga terkesan dengan arahan kerajaan bahawa hanya 30 peratus pekerja dibenarkan memasuki pejabat.
Jelas peniaga berusia 47 tahun ini, biarpun dibenarkan membuka gerai namun dengan kehadiran pelanggan yang sememangnya kurang juga boleh menjelaskan pendapatan beliau sebagai peniaga.
“Sebelum ini meriah, orang masuk pejabat beli sarapan di sini. Tapi pagi ini sangat kurang orang datang.
“Kami dengar berita BSN hanya 30 peratus sahaja pekerjanya yang masuk pejabat. KLCC hampir kosong kerana semuanya bekerja dari rumah.
“Kita tengok sehari dua lagi, kalau kita boleh bertahan.
“Nak buka kedai pun melibatkan kos yang tinggi tapi kita cuba untuk bertahan dan memberikan khidmat untuk mereka yang bekerja sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk beli makanan,” luah Saiful Hizam.
PKP kali kedua ini dilaksanakan mulai hari ini sehingga 26 Januari depan ekoran peningkatan drastik kes positif Covid-19.
Untuk rekod, ini kali kedua PKP dilaksanakan di negara ini melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari. – MalaysiaGazette