Daging harimau menangis yang dijual oleh Noor Kartini.

KUALA LUMPUR – Pemilik syarikat Noor Khan Enterprise, Noor Kartini Noor Mohamed mengambil keputusan membatalkan permohonan cap dagang bagi jenama ‘Harimau Menangis’ selepas dikritik ramai pihak sejak semalam.

Noor Kartini yang juga ibu selebriti terkenal Neelofa berkata, permohonan itu akan dibatalkan dalam masa terdekat.

“Saya memohon maaf dan sedar akan kekhilafan terjadi dan berharap keputusan yang saya buat hari ini dapat menjelaskan dan meredakan keadaan.

“Saya membuat keputusan untuk membatalkan permohonan ‘trademark’ nama Harimau Menangis dengan secepat mungkin.

“Tujuan asal saya memohon trademark ini adalah hanya untuk melindungi jenama perniagaan saya dan juga ejen jualan kami daripada masalah produk tiruan,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Noor Kartini berkata, dia tiada niat untuk menutup pintu rezeki sesiapa.

“Saya percaya rezeki kita masing-masing datangnya daripada Allah SWT. Diharap dengan penjelasan ini isu ini selesai dan tidak berpanjangan,” katanya.

Semalam tular di media sosial usahawan itu mendakwa jenama ‘Harimau Menangis’ bagi produk keluarannya sudah didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan beliau mempunyai hak eksklusif ke atas cap dagangan nama berkenaan.

Dakwaan usahawan itu mendapat kecaman netizen yang rata-rata menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan memandangkan sudah ramai menggunakan nama resepi masakan berasaskan daging ‘Harimau Menangis’ dalam produk mereka.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd Roslan Mahayudin tampil menjelaskan permohonan cap dagang bagi jenama ‘Harimau Menangis’ masih di peringkat pemeriksaan.

“Jenama yang dimohon pemilik syarikat itu, Noor Kartini Noor Mohamed belum diluluskan MyIPO dan belum menjadi hak eksklusif beliau.

“Sehubungan itu, Noor Kartini diminta tidak mendahului keputusan MyIPO dengan mendakwa jenama ‘Harimau Menangis’ didaftarkan sebagai cap dagangan dan menjadi hak eksklusif beliau,” katanya.

Mohd Roslan memaklumkan permohonan Noor Kartini bagi mendaftarkan jenama itu diterima MyIPO pada November tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.