KUALA LUMPUR – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menawarkan inisiatif kemudahan moratorium selama enam bulan kepada pelanggannya yang terjejas akibat banjir yang melanda negara sejak akhir tahun lalu.
Pelanggan Bank Rakyat yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran pembiayaan mereka akibat terkesan dengan bencana tersebut boleh memohon bantuan moratorium berkenaan bermula 20 Januari ini.
Antara produk Bank Rakyat yang ditawarkan untuk bantuan moratorium tersebut adalah termasuk, Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i dan Pembiayaan Mikro-i.
“Semoga inisiatif yang diambil Bank Rakyat ini dapat memberikan impak positif serta membantu meringankan beban yang ditanggung masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelanggan boleh menghubungi Bank Rakyat melalui e-mel [email protected] (sila sertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan dan salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan), Pusat Panggilan di talian 1300800800 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat Wilayah berdekatan.
–BERNAMA