Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP mempersoalkan apa sudah jadi dengan Dana Covid-19 bernilai RM17 bilion yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 sehingga Kementerian Kesihatan menghentikan pelaksanaan yang lengkap dan menyeluruh 3T – saringan, pengesanan dan rawatan.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, tanpa 3T, lebih ramai rakyat Malaysia akan dijangkiti Covid-19 dan lebih banyak nyawa akan terkorban dengan sia-sia.

Menurutnya, soalan ini sepatutnya dapat diajukan di Parlimen tetapi setelah penggantungan Parlimen yang menimbulkan pelbagai persoalanan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, negara mungkin tidak tahu jawapannya.

Oleh sebab itu, katanya, penggantungan ini harus dibatalkan dan Parlimen perlu bersidang segera, untuk mengakhiri ketidakmampuan dan ketidakcekapan tersebut dan sebaliknya memberikan sumber dan sokongan yang sangat diperlukan kepada wira barisan hadapan negara.

Tegasnya, bahaya tidak melakukan ujian saringan lengkap pada semua kontak rapat dan individu yang tidak bergejala adalah sangat benar kerana pesakit tanpa gejala boleh menjadi bergejala kemudian dan menyebarkan virus.

”Para saintis di Amerika Syarikat telah menemui bahawa penularan daripada individu tanpa gejala dianggarkan menyumbang 59% daripada semua penularan Covid-19. Ini dapat dilihat di Hospital Besar Pulau Pinang dengan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 yang berusia, yang dijangkiti oleh anggota keluarga mereka yang lebih muda dan tidak mempunyai gejala,” ujarnya di sini.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan ujian saringan tidak lagi dilakukan pada setiap individu yang dikenal pasti sebagai kenalan rapat dengan pesakit positif Covid-19, sebaliknya hanya menyaring mereka yang menunjukkan gejala.

Dalam pengesanan kontak yang melibatkan kluster jangkitan, hanya sejumlah sampel yang akan diambil dan bukan setiap kontak dekat disaring seperti sebelum ini.

Pekeliling Kementerian Kesihatan menyatakan memadai untuk mengambil 20 sampel jika jumlah individu yang terdedah dalam kelompok kurang dari 50.

Sekiranya jumlahnya melebihi 50, maka memadai mengambil 30 sampel atau 10 peratus atau mana-mana yang lebih rendah.

Guan Eng mendakwa kelonggaran ujian saringan penuh yang melibatkan semua kontak rapat tanpa gejala ini akibat daripada sistem penjagaan kesihatan yang tidak mampu untuk menangani lonjakan jumlah pesakit Covid-19.

”Ini menimbulkan isu ketidakcekapan Menteri Kabinet dan kesiapsiagaan mereka yang lemah dalam memberikan sokongan penuh kepada wira barisan hadapan negara dalam pertempuran hidup dan mati melawan Covid-19.

”Sumber yang mencukupi, baik daripada segi tenaga kerja ataupun peralatan, sepatutnya tersedia untuk wira barisan hadapan negara untuk melaksanakan 3T iaitu saringan, pengesanan dan rawatan, yang merupakan paling berkesan dalam membendung penularan Covid-19,” tambahnya.

Soalnya lagi, apa gunanya meluluskan RM17 bilion untuk dana Covid-19 dalam Belanjawan 2021 jika tidak dikerahkan dan digunakan sepenuhnya.- MalaysiaGazette